Lebih mengejutkan, ada kes suami mencekup isterinya berasmara dengan lelaki lain ketika ketiadaan suami di rumah.
Hampir semua cerita sama yang mana suami tidak pernah menduga isterinya sanggup melakukan perkara sedemikian.
Di awal perkahwinan, isteri cukup baik dan sempurna termasuk perlakuannya, sopan cara berpakaian, malah datang daripada keturunan yang memiliki pengetahuan agama.
Mengapa isteri boleh berubah sampai ke tahap itu? Apakah mereka tidak mengetahui dosa itu cukup besar dan dilaknat Allah SWT.
Bibit-bibit ke arah ‘gelombang dosa’ itu semuanya bermula apabila isteri sering berbalas sistem pesanan ringkas (SMS) dengan lelaki tempat mereka mengadu masalah, bersembang di laman sosial sehingga larut malam dan menceritakan masalah dalaman keluarga kepada teman sekerja.
Bahana isteri curang seperti meragut sistem kekeluargaan di kalangan umat Islam di negara ini, apatah lagi kita memang terkenal dengan budaya budi bahasa dan sopan santun.
Di mana silapnya, apakah kerana dorongan seksual yang tiada batasan, menurut kata hati atau tiada asas agama?
Dalam Islam, suami mempunyai kewajipannya memastikan kebahagiaan rumah tangga. Sebagai ketua keluarga, mereka perlu bertindak sebagai pelindung isteri dan anaknya.
Ajar isteri dan anak hukum agama. Suami perlu mentadbir rumah tangga berdasarkan kasihan belas (rahmah), berakhlak serta menunjukkan contoh yang baik kepada keluarganya.
Rasulullah s.a.w menyifatkan wanita sebagai amanah-Nya. Maka, amanah itu hendaklah dijaga dengan sebaiknya. Nabi Muhammad berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka berkelakuan baik.
Berdasarkan kewajipan suami isteri yang ditetapkan Islam, kita dapat melihat perkahwinan itu hanya digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab.
Curang adalah sifat tidak jujur dan mengkhianati antara satu sama lain. Jika dalam tempoh bertunang sekalipun mereka sudah mengkhianati serta membuka aib pasangan, tidak mustahil mereka akan melakukannya apabila berkahwin kelak.
Bukan semua perkara boleh diceritakan kepada orang lain meskipun kepada teman rapat sehingga menimbulkan perasaan cinta dan akhirnya mereka hanyut dalam hubungan terlarang.
Perbuatan itu adalah haram dan berdosa dalam Islam dan hukum syarak. Isteri wajib menjaga kehormatan diri, keluarga serta taat kepada perintah suami. Malah, setiap perkara yang dilakukannya perlu mendapat keizinan suami.
Allah berfirman dalam Surah al-Nisa, ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah melebihkan orang lelaki atas wanita dan juga kerana orang lelaki membelanjakan daripada harta mereka. Maka wanita yang soleh itu adalah sendiri yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara dirinya ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah....”
Bagi menangani masalah perlakuan isteri curang, suami hendaklah segera memperbaiki penyelewengan itu dengan cara yang bijaksana.
Allah berfirman yang bermaksud: “...Dan wanita-wanita yang kamu bimbang melakukan nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan pulaukanlah mereka di tempat tidur dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taatkanmu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesung�guhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.
Jika terjadinya perselisihan faham antara suami dan isteri maka hendaklah ada seorang hakim daripada keluarga suami dan seorang dari keluarga isteri.
Kedua-duanya perlu mendamaikan keadaan dan bukannya menambah beban dan kekusutan sehingga suami isteri itu kembali berbaik semula.
Berdasarkan ayat itu, jika isteri menderhaka kepada suami, suami perlu menghadapinya dengan penuh sifat kesabaran.
Suami mesti bijak mengurus rumah tangganya dan tidak terburu-buru menggunakan kuasa cerai. Sikap cepat menjatuhkan talak kepada isteri tanpa usul periksa adalah tidak adil.
Berbicara mengenai faktor perceraian, antara penyumbang besar ialah tiada persefahaman, curang atau enggan dimadukan, tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, penderaan fizikal, ketagihan bahan terlarang seperti dadah dan arak, masalah kewangan serta terbabit dengan jenayah.
Rasulullah memberikan penekanan kepada umat Islam agar memilih pasangan yang mempunyai empat prinsip iaitu kecantikan, keturunan, kekayaan dan agamanya.
Sebab itu, Rasulullah menyuruh memilih pasangan kerana agamanya. Kekurangan rupa, harta dan keturunan itu akan disempurnakan oleh agama.
Agama pula membezakan seorang manusia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling takwa.”
Isteri perlu sentiasa ingat bahawa syarak mengharamkan mereka menyimpan perasaan suka apatah lagi cinta kepada lelaki selain daripada suami mereka.
Isteri perlu menghormati suami dalam keadaan mana sekalipun. Jangan lupa status sebenar diri yang mempunyai insan yang wajib diberi perhatian.
Niat ikhlas ketika berkahwin mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha memperbaiki kelemahan itu bersama-sama.
Jika keikhlasan tersemat dalam diri pasti hubungan perkahwinan sentiasa diperbaiki demi mendapatkan keredaan Allah. Menerima seadanya bermaksud terima dirinya dan usahakan yang terbaik bagi membantu mengatasi kelemahan masing-masing.
Perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata curang boleh terjadi sebelum atau selepas berkahwin.
“Sebelum berkahwin sudah boleh melakukan kecurangan apatah lagi selepas berkahwin. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin.
“Tiada jalan lain melainkan bertaubat nasuha agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Barangkali amat berat bagi suami untuk menerima keadaan isterinya yang curang serta memusnahkan kepercayaannya,” katanya.
Beliau berkata, ada juga suami yang ‘terpaksa’ memaafkan isterinya atas faktor sayangkan hubungan dengan anak.
“Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara kerana perasaan itu bukannya datang daripada kesan tarbiah untuk memaafkan dalam erti akta sebenar.
“Dalam hal ini, suami berhak membuat keputusan untuk melepaskan isterinya atau rumah tangga yang dibina itu tidak akan bahagia kerana isteri sudah melakukan perkara yang dilaknat Allah,” katanya.
Mohd Zawawi berkata kecurangan berlaku tidak kira sama ada isteri atau suami adalah disebabkan hubungan dan perintah Allah tidak dilakukan dengan sempurna.
“Isteri yang curang kepada suaminya mempunyai masalah dengan keimanannya. Sebagai seorang isteri mereka perlu menjaga kehormatan dan maruah suaminya.
“Apabila kalah dengan godaan syaitan, mereka tiada iman. Akibatnya, perasaan malu tiada lagi sehingga sanggup gadaikan maruah diri untuk keseronokan,” katanya.
Beliau berkata jika suami mengesyaki isteri cenderung melakukan kecurangan ambil masa untuk menyiasatnya dan jangan bertindak terburu-buru.
“Sebagai ketua keluarga, suami wajib memenuhi segala tuntutan dan keperluan isteri. Ini termasuk menjaga hubungan seksual agar bertambah erat hubungan kasih sayang antara pasangan.
“Suami berhak memeriksa telefon bimbit atau barangan peribadi lain supaya isteri tidak menyembunyikan sebarang rahsia daripada pengetahuan suaminya.
“Namun, caranya perlu bijak iaitu memberitahu isteri secara jelas tujuan itu,” katanya
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment