Feb 21, 2011

Tonjol Islam Secara Praktikal


IKHWAN al-Muslimin diasaskan Hassan Al-Banna di Ismailliyah pada 1928 ketika berusia 23 tahun. Sebagai anak sulung, beliau amat mementingkan pendidikan adik-beradiknya.

Di bawah kepemimpinannya, Ikhwan al-Muslimin berjaya menjadi model sebagai gerakan Islam yang mampu menghadapi cabaran semasa.

Pada 1923, beliau memasuki Dar al’Ulum iaitu sekolah latihan guru di Kaherah.

Ini memberi peluang kepadanya bertemu pelajar Islam terkemuka tetapi beliau terganggu melihat nilai kebaratan terlalu ketara sehingga melemahkan pengaruh Islam.

Beliau kecewa kerana sarjana Islam di Universiti al-Azhar gagal menyuarakan tentangan mereka seperti peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian.

Kemudian Hassan al-Banna menganggotai pertubuhan Jama’atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah dan berdakwah ke seluruh negeri termasuk kedai kopi.

Beliau bertemu tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda dan Farid Wajdi.

Beliau mendapat ijazah pada 1927 dan menjawat jawatan guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma’iliyya.

Ketika menjadi guru, beliau sanggup memotong sebahagian gajinya dan peruntukan keluarganya. Hal itu menjadikan hubungan kekeluargaan mereka sangat rapat.

Gerakan Ikhwan al-Muslimin memberi tumpuan dalam bidang ekonomi dan sosial bagi menyebar kegiatan dakwah dan membuka kilang tekstil dan syarikat pengiklanan.

Selain itu, Ikhwan turut menubuhkan sekolah, pusat kesihatan di seluruh negara. Hasilnya, gerakan itu mendapat sambutan hebat bukan saja di Mesir tetapi di negara Arab lain.

Di era kegemilangannya, Ikhwan al-Muslimin mewujudkan lebih 2,000 cawangan di seluruh Mesir dengan dua juta pengikut.

Sementara itu, pemerintah Mesir pimpinan Abdul Nasser, seorang sosialis, mengharamkan al-Ikhwan pada 13 Januari 1954 ekoran pertempuran mahasiswa al-Ikhwan dengan pendukung pemerintah di Universiti al Azhar.

Pada tahun 1954, Abdul Nasser menjatuhkan hukuman mati terhadap Abdul Qadir Audah, Timbalan Mursyidul Am al-Ikhwan dan ulama al-Azhar merangkap pejuang dalam perang dengan Inggeris, Sheikh Muhammad Farghali.

Trajedi 1954 ini hampir meragut nyawa Mursyidul Am al-Ikhwan, Hasan Hudaybi di tali gantung tetapi beliau diserang penyakit jantung dan dijangka meninggal dunia dalam masa beberapa jam.

Abdul Nasser mengeluarkan surat pengampunan agar al Hudaybi mati di rumah bukannya di penjara tetapi Allah Maha Bijaksana dengan menggagalkan perencanaan jahat Nasser dengan melanjutkan umur al Hudaybi.

Pada 1965, sekelompok pimpinan al-Ikhwan mula merancang untuk bangkit semula secara sulit. Mursyidul Am menyerahkan obor perjuangan kepada pimpinan Syed Qutb Ibrahim dan dibantu Hajah Zainab Ghazali al Jabili, Ketua Umum Jamaah Muslimat dan Abdul Fattah Ismail.

Usaha ini mengalami kesukaran kerana Syed Qutb terpaksa menyampai arahan dari penjara dan ia bertambah sukar apabila pergerakan pimpinan al-Ikhwan dihidu cawangan khas Mesir.

Akibatnya gerakan pemutihan dilakukan dengan menangkap sebahagian besar pengikut al-Ikhwan. Ramai tokoh al-Ikhwan dihukum gantung termasuklah Syed Qutb dan Abdul Fattah Ismail manakala Hajjah Zainab dihukum penjara seumur hidup.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata gerakan Ikhwan Muslimin menyeru umat Islam kembali kepada ajaran agama sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah selain penerapan syariat Islam dalam kehidupan.

“Mereka sangat menekankan kesatuan serta kesepaduan sesama umat Islam berpaksikan Islam.



“Nama pertubuhan tersebut yang bermaksud persaudaraan Islam secara sendirinya boleh menggambarkan fokus pergerakan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kebangkitan rakyat Mesir ketika ini bukan dimulakan gerakan Ikhwan Muslimin tetapi golongan yang berasakan diri mereka tertindas dalam aspek ekonomi serta sosial sebelum disokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Ikhwan Muslimin.

Beliau berkata, gerakan itu ditubuhkan selepas pengaruh kumpulan pemikiran Barat bergerak begitu hebat di Mesir termasuk golongan feminisme.

“Kebangkitan nasionalisme Arab mencapai kemuncaknya berikutan penggulingan sistem Khilafah Islam Uthmaniyah di Turki oleh Kamal Attarturk.

“Dalam biografinya, Hasan al-Banna ada menyatakan bahawa keputusan menubuhkan Ikhwanul Muslimin kerana kejahilan umat Islam terhadap agama mereka,” katanya

Rahimi berkata, gerakan Ikhwanul Muslimin mendekati masyarakat dengan menonjolkan cara hidup Islam secara praktikal agar keindahan Islam itu dapat dilihat dengan jelas dan bukan sekadar retorik.

“Dalam berdakwah, mereka mengelak pertelingkahan, riak, kesombongan, menjauhi parti politik selain mengekang pengaruh British yang masih kuat walaupun Mesir diisytiharkan merdeka pada 1922.

“Mereka turut berperang menentang pencerobohan Yahudi ke atas Palestin yang didokong British,” katanya.

Beliau menyifatkan penentangan terhadap kerajaan Mesir adalah satu ketentuan Allah yang mempunyai banyak hikmah untuk difahami serta memberi pengajaran.

“Penganalisis politik berpendapat faktor utama membawa kepada keadaan di Mesir sekarang disebabkan ruang untuk rakyat menyuarakan masalah terbatas oleh perintah darurat dan jurang di antara pemerintah serta rakyat terlalu jauh,” katanya.


Beliau tidak menolak andaian bahawa kebangkitan itu turut ada kaitan dengan tempias yang berlaku di Tunisia apabila rakyatnya bangun untuk menggulingkan pemerintah mereka, Presiden Zine El Abidine Ben Ali yang memerintah kira-kira 23 tahun.

Keberanian dan pengorbanan rakyat Tunisia itu membuka mata masyarakat Mesir untuk melakukan perkara yang sama kepada Presiden Hosni Mubarak.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata Hassan al-Banna bercita-cita menubuhkan gerakan Islam yang syumul bagi membimbing generasi dengan prinsip Islam secara menyeluruh.

“Al-Ikhwan amat mementingkan soal pendidikan dan pembukaan sekolah, justeru gerakan itu sering menyeru kerajaan Mesir mengambil berat pengajaran agama dan prinsip akhlak kepada generasi muda di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, dalam kurikulum sekolah, gerakan itu mahu pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah dan tamadun Islam.

“Mereka mendesak mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti dan memecat guru yang tiada berakhlak, jujur dan tidak mengambil berat mengenai Islam.

“Bagi menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolah percuma untuk pekerja dan orang kampung.

“Pada siang hari, terdapat kelas menghafal al-Quran sementara di waktu malam diadakan kursus untuk pemuda. Tenaga pengajar terdiri daripada pelajar universiti,” katanya.

Katanya, dari segi kebajikan masyarakat, Ikhwan memberi pelbagai perkhidmatan dengan menubuhkan persatuan bagi meningkatkan taraf hidup orang kampung di Mesir.


“Cawangan Ikhwan memberi sedekah kepada orang miskin, mengadakan bekalan elektrik ke kawasan kampung serta memungut derma pada bulan Ramadan.

“Mereka juga membuat bancian untuk mereka yang tidak berumah dan anak yatim manakala golongan cacat dan orang sakit mendapat sara hidup,” katanya.

Tidak hairanlah, apabila berlaku kebangkitan rakyat Mesir yang turut dikaitkan dengan pemberontakan menjatuhkan kerajaan di Tunisia, nama Ikhwan al-Muslimin tiba-tiba melonjak.

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Categories:

0 comments: