Dec 6, 2011

Membina Suasana yang Subur untuk Islam



Ramai mempunyai tanggapan yang agak salah terhadap gambaran sebenar agama Islam. Ini kerana mereka gagal melihat Islam secara holistik.

Sebaliknya, mereka hanya melihat juzuk-juzuk tertentu dalam Islam yang disempitkan tanpa mengambil kira konsep dan prinsip yang saling melengkapi.

Jangan pula kita menjadi umpama kisah si buta melihat gajah. Menanggapi Islam secara sempit. Sekiranya seseorang itu mengamalkan Islam bukan secara keseluruhannya dengan meninggalkan segmen-segmen tertentu, maka dia tetap tidak menemui hikmah pensyariatan di sebalik amalan yang dipraktiskan.

Lebih merbahaya lagi, dia menimbulkan imej yang buruk di mata orang lain tentang Islam.

Maka, dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 208)

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT memerintahkan hambanya yang mukmin dan mempercayai akidah dan syariat Islam, agar mengerjakan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan seluruh larangan-Nya.

Tanggapan yang salah itu juga timbul disebabkan umat Islam gagal mempamerkan wajah sebenar Islam yang terbaik. Dalam diri mereka, terdapat dua unsur yang saling bercanggah antara satu sama lain yang sedang cuba dicantumkan oleh empunya diri iaitu Islam dan jahiliah.

Masakan Islam dapat diamalkan dan diterima oleh Allah SWT sedangkan jahiliah masih berbuah ranum dalam diri.

Atas dasar inilah, maka Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan penghijrahan yang besar dalam kehidupan mereka. Bukan hanya sekadar berpindah tempat tinggal dari Mekah ke Kota Madinah, tetapi untuk membuat anjakan secara total dalam akidah dan ibadah mereka.

Ini kerana, suasana di Mekah pada ketika itu tidak kondusif untuk Islam diamalkan secara komprehensif. Mungkin ia hanya sesuai untuk Islam mula-mula berputik.

Suasana Mekah pada waktu itu yang masih berserabut dengan amalan jahiliah menyebabkan baginda berhijrah ke Madinah.

Walaupun Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat di Mekah sudah mempunyai kekuatan pada waktu itu, tetapi ia tidak cukup sekiranya tidak dibantu oleh suasana yang sesuai.

Justeru, mereka berhijrah ke Madinah sebagai satu isyarat kepada umat Islam tentang kewajipan membina suasana dan keadaan yang subur untuk Islam dan proses keimanan itu berjalan rancak.

Ia juga sesuai untuk dikaitkan dengan kaedah fiqh: "Tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengan jalannya, maka jalan itu juga menjadi wajib."

Sesungguhnya asas yang kukuh amat perlu untuk melahirkan ummah dan daulah Islamiah. Laksana asas bagi binaan yang besar. Binaan yang terbesar ialah binaan Islam.

Memanglah sesuatu asas bagi binaan tidak akan kelihatan dengan jelas dan nyata di atas tanah yang rata serta-merta, meskipun banyak usaha dan titik peluh dicurahkan untuk menanam dan membenamkannya.

Mereka yang tidak arif atau orang yang mengharapkan natijah segera akan menganggap bahawa segala usaha dan waktu yang dihabiskan untuk menanam asas adalah sia-sia lantaran mereka tidak nampak kewujudan binaan yang tersergam di atas tanah yang rata itu.

Sesungguhnya, tahap atau peringkat meletakkan asas adalah paling sukar dan penting dalam proses pembinaan bangunan. Setiap waktu dan usaha yang dicurahkan untuk membina asas sesebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia.

Proses pembinaannya tidak boleh dihentikan dengan alasan belum nampak apa-apa hasil di permukaan tanah. Sudah tentulah bangunan Islam yang besar memerlukan waktu yang banyak dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asasnya.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: …Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh lagi susah bagi mereka… (al-Taubah: 42)

Kefahaman ini juga boleh dikaitkan dengan institusi-institusi yang mempromosikan produk-produk Islam yang ada di pasaran. Sudah sekian lama produk-produk Islam ini tersebar dalam masyarakat. Namun sejauhmana ia menambat hati masyarakat masih lagi perlu dinilai dari semasa ke semasa.

Apa yang penting ialah dalam kita membangunkan produk-produk ini, perlu juga kita membina suasana untuk produk ini subur bersama dengan nilai-nilai Islam di dalamnya.

Lebih-lebih lagi terdapat di kalangan pengguna akan melihat susuk tubuh institusi terlebih dahulu sebelum memilih produk yang ditawarkan sebagaimana masyarakat menerima Islam sebagai agama disebabkan para pendakwah yang telah menunjukkan imej yang baik dari segi akhlak, penampilan dan tutur bicara mereka.

Cuba kita perhatikan bagaimana Islam mula-mula disebarkan di Kota Melaka oleh saudagar-saudagar yang datang untuk melakukan perniagaan.

Semuanya bermula dengan akhlak dan tingkahlaku yang akhirnya memikat penduduk Melaka pada waktu itu.

We have a good product, but we do not have a good promoter. Demikianlah ungkapan terkenal dalam dunia pemasaran. Islam tidak cukup pada produk-produk yang diperkenalkan.

Akan tetapi ia turut merangkumi pengurusan yang cekap, perkhidmatan bergred A, layanan yang mesra dan cepat di samping sentiasa menjaga kualiti produk.

Semua itu terkandung di bawah tuntutan Islam. Barulah akan tercipta suasana untuk produk-produk Islamik untuk membenih, tumbuh, membesar dan seterusnya mengeluarkan buah yang memberikan manfaat kepada manusia sejagat.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Categories:

0 comments: