Apr 19, 2012

Hutang Perlu Dibayar Segera



ORANG zaman sekarang ramai yang berhutang ‘keliling pinggang’ kerana perlu membayar ansuran kereta, pinjaman pendidikan, kad kredit malah ada yang berhutang untuk melangsungkan perkahwinan.

Bukan saja golongan yang sudah lama bekerja, dilema berhutang juga melanda golongan pelajar yang baru mula bekerja.

Ada yang diisytiharkan muflis gara-gara tidak mampu membayar hutang selepas menggunakan kad kredit.

Ada yang membuat pinjaman peribadi daripada institusi kewangan atau koperasi untuk belanja perkara yang tiada keperluan. Akhirnya setiap bulan terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi.

Bagi mereka yang ‘sesak’ dihimpit bebanan kewangan, tawaran membuat pinjaman peribadi itu dianggap penyelamat.

Hakikatnya, kemudahan kewangan yang diperoleh itu makin menambah beban dan serabut dalam kehidupan mereka.

Bagaimanapun, jika kewangan diurus dengan bijak, tidak timbul juga perkara sedemikian. Cuma, dalam masyarakat kita, ramai berbelanja melebihi kemampuan selain berbelanja ikut nafsu.

Bayangkan untuk bersaing dengan kawan-kawan, ada membuat pinjaman setiap tahun untuk bercuti, menukar set televisyen daripada 32 inci kepada 42 inci, sofa baru dan kereta baru.

Jauh sekali untuk memupuk amalan menabung dalam kehidupan. Duit gaji diterima setiap bulan banyak disalurkan untuk membayar semua hutang itu.

Barangkali ada yang membuat pinjaman peribadi hanya melihat kemampuan mereka membuat bayaran ansuran bulanan. Pada mata kasar sememangnya tidak memberi kesan.

Namun, kira kembali kadar faedah yang dikenakan, peminjam sebenarnya terpaksa membuat bayaran berlipat kali ganda. Tidak cukup meminjam daripada institusi kewangan, ada yang ‘menempah maut’ meminjam daripada along.

Islam jelas menyatakan kesan berhutang meninggalkan kesan negatif kepada manusia kerana hidup tidak tenteram apatah lagi beban hutang akan dibawa hingga ke liang kubur jika tidak melunaskan perkara itu.

Malah, sifat orang berhutang juga cenderung untuk melakukan pembohongan apabila diminta untuk menjelaskan hutang mereka.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), berkata Islam mengharuskan umatnya berhutang, tetapi setiap hutang perlu dibayar semula.

“Dikhuatiri perkara ini akan menjadi budaya tidak sihat di kalangan umat Islam. Meskipun pada asalnya hukum berhutang itu harus, ia boleh bertukar wajib sekiranya seseorang itu perlu berhutang bagi memenuhi tuntutan agama seperti memiliki pakaian untuk menutup aurat.

“Berhutang boleh jadi haram sekiranya dilakukan untuk tujuan maksiat seperti berjudi, membeli dadah serta bermegah-megah dengan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Beliau berkata, konsep hutang yang diharuskan Islam itu membuktikan betapa akrabnya hubungan persaudaraan antara umat Islam.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak boleh menganiaya atau membiarkan (Muslim itu) dianiaya. Dan sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang membebaskan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Bagi mereka yang terpaksa berhutang atas sebab yang dibenarkan syarak, mereka akan menanggung amanah untuk melunaskan hutang berkenaan.

“Hutang itu perlu segera dijelaskan selain memanfaatkan wang itu untuk perkara yang menjadi keutamaan buat mereka,” katanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 283).

Menurutnya, Islam amat prihatin terhadap rezeki dan kemampuan umatnya malah Allah sentiasa memberi bantuan kepada hamba yang mengingati-Nya ketika susah dan senang.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu. Namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

“Ramai di kalangan kita yang membuat pinjaman peribadi untuk mendirikan rumah tangga. Dalam hal ini, mereka perlu faham tujuan perkahwinan adalah untuk memenuhi tuntutan agama.

“Tiada masalah sekiranya terpaksa membuat pinjaman bagi tujuan demikian. Cuma, majlis mesti diadakan secara sederhana dan bukan besar-besaran atau untuk menunjuk-nunjuk.

“Hutang perlu dibuat mengikut kemampuan diri dan dilunaskan mengikut perjanjian dimeterai. Jika tidak ia akan menjejaskan keberkatan ibadah perkahwinan,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata, isu pinjaman tabung pendidikan daripada PTPTN, Mara, JPA atau yayasan negeri pinjaman itu diharuskan Islam kerana membabitkan perkara baik.

“Namun, ia perlulah dibuat mengikut tatacara yang dipersetujui kedua-dua pihak. Selepas pinjaman dibuat, setiap individu bertanggungjawab menjelaskan kembali pinjaman hutang mereka.

“Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian (yang dipersetujui).” (Surah al-Ma’idah, ayat 1).

“Sebagai peminjam, mereka perlu berfikir dan meneliti terma dan syarat yang dikenakan pihak pemberi pinjaman. Jika tidak bersetuju maka dari awal lagi mereka perlu mengelak daripada membuat pinjaman itu.

“Jika persetujuan dicapai, tiada alasan bagi mereka untuk berdolak-dalih untuk melunaskan hutang kerana dosa berhutang amat besar,” katanya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Hadis riwayat Muslim).

Beliau berkata, budaya membuat pinjaman daripada pihak yang mendatangkan bahaya seperti along dinasihatkan supaya mereka banyakkan bersabar dan sentiasa berfikiran waras.

“Sekiranya mereka berikhtiar dan bergantung harap kepada Allah pasti akan ada jalan keluar terbaik daripada masalah kewangan.

“Budaya meminjam daripada along perlu dihindari kerana mereka berdepan bahaya jika gagal melunaskan hutang mereka. Islam tidak membenarkan umatnya terjebak dalam gejala yang membinasakan,” katanya.

Firman Allah di dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Katanya banyak masalah timbul daripada amalan berhutang berpunca daripada sikap individu yang gagal memanfaatkan hal itu dengan baik.

“Justeru, jika perlu berhutang dan yakin dapat mengurusnya dengan baik, ia tidak menjadi halangan.

“Berhutang boleh menjerumuskan seseorang itu kepada nifak (menjadi golongan munafik) kerana sifat seperti dusta dan mungkir janji,” katanya.

Rasulullah pernah ditanya sahabat tatkala Baginda berdoa supaya diselamatkan daripada bahaya hutang. Rasulullah berdoa yang maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu Baginda ditanya sahabat: “Mengapa kamu sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, maka apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Categories:

0 comments: