Feb 27, 2011

Rasulullah Jadikan Dugaan, Motivasi Bakar Semangat Perjuangan


RASULULLAH SAW diutuskan membawa rahmat ke atas sekalian alam seperti difirmankan Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’ : 107)

Baginda kasih kepada umatnya, tidak mahu mereka teraba-raba dalam kesesatan mencari Tuhan sebenar. Baginda juga tidak mahu umatnya melakukan penderhakaan kepada Allah SWT yang kelak mengakibatkan mereka memperoleh azab yang dahsyat di akhirat.
Justeru, Rasulullah SAW tidak jemu-jemu mengajak umatnya mentauhidkan Allah SWT. Dalam menyebarkan ajaran yang suci ini, Rasulullah SAW berdepan dengan pelbagai cabaran daripada kalangan Musyrikin Makkah dan kaum munafik di Madinah, selain orang Yahudi yang bersifat degil serta Nasrani yang menganggap Nabi Isa sebagai Tuhan.
Pelbagai dugaan, ancaman dan penderitaan yang baginda alami, semuanya dihadapi dengan sabar dan tabah kerana baginda sedar apa yang disampaikan olehnya ialah sesuatu yang hak. Rasulullah SAW menginsafi bahawa rasul terdahulu sebelum baginda juga berdepan dengan pelbagai fitnah dan kerenah daripada kaumnya.

Ada rasul yang dibunuh dengan kejam seperti Nabi Zakaria dan ada rasul yang dicampak ke dalam api seperti Nabi Ibrahim dan ada juga rasul yang hampir disalib seperti Nabi Isa. Semuanya menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada Rasulullah SAW untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya yang maha suci.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (At-Taubah : 128)
Walaupun ditawarkan dengan pangkat, harta dan gadis jelita, Rasulullah SAW tidak pernah berganjak, apatah lagi berundur sejengkal dalam perjuangan menyebarkan ajaran tauhid kepada umatnya. Sifat Rasulullah SAW yang mulia ini memberi isyarat kepada musuh-musuh Islam bahawa baginda bukanlah seorang yang gilakan kuasa, apatah lagi tamakkan harta serta kaki perempuan.
Sifat kasih Rasulullah SAW tidak terbatas kepada umat yang hidup sezaman dengan baginda saja. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ad-Darimi, Al-Baqawardi dan Ibnu Qani daripada Abi Jum’ah Al-Ansari yang bermaksud: “Berkata dia (Abi Jum’ah Al-Ansari) : Aku bertanya: Ya Rasulullah! Adakah satu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman dan kami mengikut akan (ajaran) engkau? Jawab baginda SAW: Apalah akan halangannya bagi kamu (untuk beriman kepadaku), sedangkan Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi satu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka kitab Allah yang ditulis di antara dua Luh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang disebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.”



Jika dilihat kepada kesungguhan baginda dalam membasmi syirik sekali gus menyebarkan tauhid, sebenarnya ia adalah pemakbulan doa moyang baginda Nabi Ibrahim as seperti yang dirakam dalam al-Quran.

“Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-kitab (al-Quran) dan al-hikmah (As-Sunnah) serta menyucikan mereka (daripada syirik). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah : 129)

Oleh kerana terlalu besar jasa baginda SAW, maka wajib bagi umatnya menyintai Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap yang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah jika bapa kamu dan anak kamu dan saudara kamu dan isteri kamu dan kaum keluarga kamu dan harta kekayaan yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi
petunjuk kepada orang fasik.” (At-Taubah : 24)

Oleh Mohd Hishammuddin Mansor

Categories:

0 comments: