Jun 9, 2008

Memelihara sifat takwa kepada Allah SWT

WAHAI orang-orang yang beriman! apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah SAW, dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertakwa. Dan hendaklah kamu tetap bertakwa kepada Allah yang kepada-Nya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan). (al-Mujadalah: 9)

HURAIAN

Allah SWT melarang keras orang-orang yang beriman mengadakan perbincangan sulit dalam suasana yang boleh menimbulkan keraguan, menggugat kepercayaan dan membangkitkan kebimbangan di kalangan umat manusia. Apatah lagi, jika perbincangan tersebut merupakan perbuatan untuk menentang Rasulullah SAW, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Islam menganjurkan perbincangan mengikut adab dan peraturan yang betul. Sesuatu tindakan yang hendak diambil yang melibatkan kepentingan ummah perlu diberitahu kepada ketua dan seterusnya dibincangkan bersama ahli-ahli yang lain bagi mengatur strategi yang berkesan dan mengambil tindakan yang bijaksana.

Sekiranya adab dan peraturan musyawarah ini diikuti, sudah pasti akan menghasilkan kesan yang positif yang dapat memberi faedah dan kebaikan kepada umat manusia. Sehubungan itu, semua orang beriman diseru melakukan hanya perkara-perkara kebaikan dan bertakwa kepada Allah sahaja. Sifat takwa akan dapat memelihara mereka daripada tergelincir dari jalan Allah dan menyelamatkan mereka daripada azab seksa pada hari kiamat kelak kerana Allah SWT pasti akan membangkitkan seluruh umat manusia untuk dihitung segala amal perbuatan mereka semasa di dunia.

KESIMPULAN

Islam menganjurkan umat manusia untuk mengadakan perbincangan demi menghasilkan faedah dan kebaikan untuk semua. Orang yang bertakwa kepada Allah SWT akan sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan kerana takutkan kemurkaan dan balasan Allah SWT di akhirat kelak.

Categories:

0 comments: