Jun 10, 2008

IPTA perlu cari jalan elak masalah ketika pendaftaran

MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini mengumumkan sejumlah 30,757 tempat bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya bagi mengikuti program diploma serta persediaan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2008/2009.

Bagi mereka yang sudah pasti mendapat tempat, debaran yang ditunggu selama ini sudah berakhir. Namun, bagi yang masih menunggu keputusan rayuan, boleh mengharapkan untuk peluang kedua.

Bakal mahasiswa yang berjaya itu adalah sebahagian daripada 156,026 lepasan SPM dan setaraf yang mengemukakan permohonan masing-masing secara dalam talian menerusi Bahagian Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi.


Jumlah yang mengemukakan permohonan itu pula mewakili kira-kira satu pertiga daripada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

Bagaimanapun bagi sesi pengajian tahun ini, jumlah ditawarkan meningkat 17.2 peratus atau 5,281 tempat berbanding 25,476 yang ditawarkan mengikuti program berkenaan di semua IPTA tahun lalu. Daripada jumlah itu, 9,000 bagi pelajar yang akan mengikuti program persediaan atau Asasi, manakala bakinya membabitkan pelajar Program Diploma yang akan mendaftar pada 28 Jun ini.

Sebaik menteri mengumumkan tempat kepada pelajar, kini giliran pihak pengurusan IPTA memastikan proses pendaftaran pelajar mereka berjalan lancar.

Bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan, Bahagian Kemasukan Pelajar dan pengurusan setiap fakulti perlu mengemaskinikan pangkalan data masing-masing supaya tidak wujud kes seperti pelajar berjaya mendapat tempat, tetapi timbul kekeliruan kerana nama mereka tidak ada dalam pangkalan data universiti.

Perkara ini sering terjadi dan setiap tahun ada laporan atau rungutan pelbagai pihak yang tidak puas hati mengenainya. Pastinya kelemahan wujud tetapi bagi mengelak masalah berulang, pihak pengurusan perlu menyelaraskan pangkalan data sedia ada.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini kurang kedengaran kes pelajar IPTA dibuli atau tidak puas hati atas tindakan senior yang bertindak keterlaluan pada minggu suai kenal. Mungkin ada tetapi tidak dilaporkan. Sebagai golongan yang matang berdepan dengan situasi itu pastinya mereka boleh menerima perubahan persekitaran.

Tambahan pula mereka yang terpilih adalah berdasarkan sistem meritokrasi yang dikira berdasarkan 90 peratus kecemerlangan akademik dan 10 peratus pula hasil daripada aktiviti kokurikulum.

Categories:

0 comments: