TUGAS pendakwah tidak terhad kepada golongan agama atau cendekiawan Islam saja kerana semua individu bertanggungjawab melakukan sesuatu untuk pembangunan serta kesatuan umat Islam. Boleh dikatakan kerjaya seperti wartawan, penulis, pengarah filem, pelakon, penyanyi atau ahli sukan juga boleh berperanan menyebarkan dakwah. Malah, bidang seni seperti filem dan drama berpengaruh besar jika mereka bijak menggunakan saluran ini untuk berdakwah. Ini kerana sasaran dan jaringannya lebih luas. Hiburan perlu dinikmati secara baik yang jauh daripada perbuatan cela.
Ia adalah bentuk hiburan dinyatakan Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud: “Seorang yang berakal tidak selayaknya menghabiskan waktu kecuali untuk tiga perkara iaitu mencari bekalan akhirat, memperbaiki taraf hidup atau menikmati hiburan tidak diharamkan.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban). Sifat sentiasa ingin menikmati hiburan adalah kesalahan dan jika dibiarkan berterusan pasti dosa akan berganda. Benar sekali, hiburan memang dekat dengan masyarakat kita. Konsep hiburan dalam Islam adalah untuk mencapai ketenangan dan kepuasan. Dalam skop yang lebih luas, ia dapat memelihara diri serta berasa damai dengannya.
Hiburan sebaiknya dibangunkan dalam acuan yang sederhana, objektif yang jelas, positif, terkawal dan mempunyai ciri bersifat mendidik tanpa melampaui batas. Imam Ali r.a mengibaratkan hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, ia akan merosakkan. Tidak kiralah siapa kita, yang penting mampu mempamerkan dan membawa perubahan baik kepada agama Islam. Lebih bermakna, matlamat untuk membawa orang ramai menghayati dan mendekati ajaran Islam sebenar.
Masyarakat perlu bijak memilih saluran yang betul dan tidak boleh menikmati hiburan yang membawa kemaksiatan. Penghasilan satu produk filem atau drama perlu bermutu sesuai dengan kehendak Islam. Sekiranya ia diamalkan, golongan berkenaan pasti mendapat ganjaran baik di sisi Allah s.w.t kelak. Apabila masyarakat terkesan dan membawa perubahan lebih baik dalam kehidupan mereka, maka industri ini mampu menjadi wadah perjuangan Islam yang murni. Begitu juga jika bercanggah dengan syariat Islam, ia membawa keburukan kepada masyarakat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak menguranginya sedikit pun dosa itu dari dosa-dosa mereka”. (Hadis riwayat Muslim Abu Daud dan Tirmizi)
Hiburan yang keterlaluan mampu menggugat kekuatan iman masyarakat terutama mereka yang lemah pegangan agama. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan dan sia-sia dan hiburan yang melalaikan, dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik orang-orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah al-An’am ayat 32)
Keruntuhan akhlak remaja masa kini juga berkait rapat dengan hiburan melampau. Bagaimana caranya dengan kepelbagaian saluran hiburan mampu membina masyarakat?
Karya seniman melalui bidang kesenian mesti mampu mengangkat kesedaran ke arah keharmonian cara hidup manusia yang bertamadun.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”. (Surah al-Qasas ayat 77)
Justeru, menjadi cabaran dan tanggungjawab fardu kifayah golongan seniman melakukan kajian, penilaian dan kritikan terhadap hasil kerja mereka.
Golongan artis yang menjadi ikutan remaja perlu sentiasa menjaga tingkah laku mereka sesuai dengan budaya masyarakat Timur, menjaga tatacara berpakaian supaya tidak nampak keterlaluan serta menjaga pertuturan dalam memperkatakan sesuatu perkara.
Seharusnya hiburan tidak dicemari dengan hal diharamkan syariat. Ini kerana hiburan yang pada dasarnya diharuskan syarak berubah menjadi haram akibat ‘ternoda’ dengan perkara bertentangan nilai agama dan sosial.
Faktor keruntuhan kebanyakan tamadun Islam pada zaman dahulu berpunca daripada masalah berkaitan hiburan yang melampau.
Keruntuhan khalifah Abbasiyyah kerana mereka tidak pernah terlepas daripada gaya hidup hedonisme, suka berfoya-foya dan bermewah-mewahan.
Sebagai pengajaran, apa saja bentuk hiburan dibawa perlu kepada mesej berguna yang bertujuan menyedarkan masyarakat. Elemen seperti memfitnah, mengaibkan individu, perlakuan maksiat, pemujaan serta permusuhan perlu dihindarkan.
Konsep ‘mencari’ hiburan dalam memenuhi tuntutan nafsu perlu dielakkan. Kesan hiburan itu sendiri perlu kembali kepada Islam yang jelas membezakan perkara halal atau haram.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk).” (Surah al-A’raf, ayat 157)
Kita perlu mewujudkan jaringan hiburan yang sesuai dan terpisah daripada pengaruh Barat. Hiburan yang diketengahkan Barat terlalu sarat dengan unsur lucah berlebihan, meminum arak, lelaki berimej samseng yang ternyata jauh tersasar daripada peradaban manusia.
Produk mereka hasilkan adalah alat yang menyelinap secara halus dalam misi untuk menghanyutkan umat Islam. Jika tidak dikawal, amat mudah umat Islam terjerumus ke lembah kefasikan.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadhlan Mohd Othman berkata, hiburan dalam Islam adalah sebagai meraikan keadaan dan kelemahan manusia.
“Islam memberi ruang kepada manusia untuk bergembira dan berhibur asalkan bertepatan dan mengikuti garis panduan yang didasari syariat.
“Contohnya dalam bidang lakonan, ulama berbeza pendapat dengan menetapkan dua syarat iaitu membenarkan dengan syarat dan melarang sama sekali,” katanya.
Beliau berkata, dalam lakonan tidak boleh memaparkan sama sekali watak syaitan, Firaun, Tuhan, haiwan, lelaki berwatak perempuan atau sebaliknya.
“Semua perlu mengetahui bahawa tidak boleh melakonkan watak yang memperlekehkan Allah, ayat Allah dan syiar kehebatan Allah walaupun berhujah untuk mendidik orang ramai atau ia dilakukan secara gurauan.
“Selain itu, jika ada babak yang perlu melakonkan watak orang sedang bersembahyang atau membaca al-Quran, ia perlu dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Fadhlan mencadangkan supaya di Malaysia diwujudkan badan syariah khas syarikat perfileman jika mahu menghasilkan produk yang berkualiti yang digariskan Islam.
“Perlu ada panel syariah yang berperanan menerapkan nilai ilmu dan dakwah yang memurnikan akidah, ibadah dan akhlak,” katanya.
Beliau berkata, tiba masanya industri seni di negara ini menggiatkan usaha Islamisasi supaya bidang itu dapat memberi sumbangan besar dalam usaha dakwah.
“Ada saranan supaya golongan ulama perlu turut sama terbabit dalam bidang ini yang bertindak sebagai pencetus idea serta nasihat dalam memperbaiki kelemahan yang tidak sepatutnya
berlaku.
“Tidak hanya melemparkan kritikan tetapi golongan ulama perlu bersedia dengan idea murni mereka,” katanya.
Sementara itu, aktivis sosial, Dr Muhaimin Sulam berkata, filem mempunyai nilai yang mampu menjana ekonomi sesebuah negara.
“Filem mampu mengembangkan industri hiliran seperti fesyen dan komputer. Sebuah filem Islam tidak perlu kepada unsur dan perwatakan mesti memakai kopiah, berjanggut dan menggunakan simbol atau istilah Arab.
“Yang penting, semua yang terkandung dalam skripnya perlu menyedarkan orang ramai mengenai kebenaran. Penggiat yang minat menghasilkan filem perlu daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran yang mendalam terutama dalam penghasilan skrip,” katanya.
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my
fadly@hmetro.com.my
Categories:
Hiburan
0 comments:
Post a Comment