Mar 9, 2009

Banyak khazanah Nabi masih belum digali

MAULID berasal daripada perkataan Arab yang bermakna melahirkan bayi. Pada hari ini perkataan maulid itu merujuk kepada sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW setiap kali tibanya tarikh kelahiran baginda iaitu, 12 Rabiulawal setiap tahun.


Berikut senarai beberapa lagi istilah perayaan kelahiran Rasulullah yang disambut oleh kebanyakan negara di dunia;


-Mawlid an-Nabi (pl. al-Mawalid) - Kelahiran Nabi * Muhammad (Arab)-Milad an-Nabi - Kelahiran Nabi (Arab dan Urdu)-Mevlid Serif - Kelahiran Yang Diberkati Allah (Turki)-Mevlud - Kelahiran (Bosnia)-Mawlud Sharif - Kelahiran Yang Diberkati (Urdu)-Zadruz-e Payambar-e Akram - Kelahiran Junjungan Besar (Parsi)-Eid al-Mawlid an-Nabawi - Perayaan Sambutan Kelahiran Nabi (Arab) -Eid-e-Milad-un-Nabi - Festival Keputeraan Nabi (Urdu)-Mawlid En-Nabaoui - Algeria (Afrika Utara)-Yawm an-Nabi - Hari Kebangkitan Nabi (Arab)-Maulidur-Rasul - Keputeraan Pesuruh Allah (Malaysia)-Mulud - Keputeraan Nabi (Jawa)-Maulid Nabi - Keputeraan Nabi Muhammad (Indonesia)-Maulidi - Swahili (Afrika Timur)-Gamou - Wolof (Senegal)


Menurut seorang teman yang pernah tinggal kerana bertugas di Jeddah, Arab Saudi, jangankan sambutan, bahkan tiada cuti diperuntukkan bagi setiap kali tibanya tarikh besar 12 Rabiulawal di negara yang menjadi tanah keputeraan Rasulullah SAW itu!


Namun, jangan menaruh sebarang prasangka atau menuduh Arab Saudi seolah-olah tidak mengenang perjuangan dan pengorbanan Rasulullah kerana apa yang penting, kita yang berpeluang untuk menyambut Maulidur Rasul, kita mesti menyambutnya!


Sebagai tanda kecintaan terhadap Rasulullah, kerana tanpa tarikh keputeraan baginda itu, maka lahirkah Islam yang menjadi anutan kita sehingga ke saat ini?


Telah lebih 1,400 tahun Rasulullah SAW meninggalkan kita maka wajar sekali jika sambutan Maulidur Rasul mesti diteruskan.


Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh ulama terkenal, Dr. Yusuf Al Qaradawi bahawa di zaman Rasulullah, para sahabat Rasulullah SAW tidak merayakan hari kelahiran baginda kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak geri Rasulullah. Seterusnya ingatan terhadap baginda itu tetap kekal dalam hati dan ingatan.


"Namun generasi-generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesan-kesannya maka dengan itu perayaan Maulid Rasul perlu diadakan," katanya.


Tanpa adanya sebarang sambutan, tidak mustahil ramai yang hanya mengenang Rasulullah hanya pada namanya sahaja. Tiada keinsafan yang timbul di hati bagi menjadikan Rasulullah itu sebagai suri teladan bagi menciptakan kejayaan sama ada di dunia ini mahupun di akhirat kelak.
Namun sambutan ini sebenarnya ada di pelbagai peringkat, tidak sekadar dengan menyertai pelbagai program yang diaturkan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk menganjurkan sambutan.


Di peringkat dalaman, setiap detik 12 Rabiulawal perlu memberikan pengertian yang besar dalam setiap diri pengikut Nabi Muhammad. Apakah ertinya Junjungan Besar ini kepada diri kita secara individu. Adakah sekadar kerana kita melafazkan sumpah atas nama baginda setiap kali mengucapkan dua kalimah syahadah, maka itu sudah menjadi menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai mengakui kerasulan Nabi?


Di saat kadang kala Nabi Muhammad dijadikan bahan cercaan dengan pelbagai cerita palsu oleh sesetengah pihak yang memusuhi Islam, adakah kita mampu untuk melawan untuk mempertahankan Rasulullah?


Begitu juga apa erti Maulidur Rasul ini jika peranan baginda sebagai seorang pendakwah tidak diteruskan oleh umatnya tetapi dalam masa yang kita mendakwa kononnya kagum dengan segala perjuangan dan pengorbanan Nabi? Tidakkah kita bertanggungjawab untuk memperkenalkan baginda kepada yang bukan Islam dan mengajak mereka supaya mengakui kerasulan baginda itu?


Bercerita mengenai Maulidur Rasul ini, beberapa aspek yang perlu kita ketahui betapa kelahiran Nabi sebenarnya telah ditunggu-tunggu!


Mereka dikhabarkan bahawa kelahiran baginda akan memberikan sinar yang menerangi kehidupan kerana antara lain baginda akan membawa pengikutnya menuju kebahagiaan abadi, iaitu kita akan kembali ke syurga!


Tetapi yang menunggu keputeraan baginda tentunya bukan terdiri dari kaum Arab Jahiliah yang telah tersesat jauh dengan berhala-berhala mereka.


Bayangkan suasananya apabila kelahiran seorang nabi akhirnya telah menjadi heboh tersebar dan diperkatakan orang.


Abu Sufyan pernah marah kepada Umayya bin Abi'sh-Shalt disebabkan orang ini sering mengulang-ulang cerita para rahib (Nasrani dan Yahudi) mengenai akan lahirnya seorang Nabi. Oleh kerana sesuai dengan kedudukan Abu Sufyan yang menjadi terkenal di kalangan kaum Arab, beliau berkata; "Para rahib itu suka membawa cerita semacam itu kerana mereka tidak mengerti soal agama mereka sendiri. Mereka memerlukan sekali adanya seorang nabi yang akan memberi petunjuk kepada mereka.


"Tetapi kita yang sudah punya berhala-berhala, yang akan mendekatkan kita kepada Tuhan, tidak memerlukan lagi hal serupa itu. Kita harus menentang semua pembicaraan yang seperti ini," katanya.


Daripada kata-kata Abu Sufyan itu jelas menunjukkan betapa fanatiknya beliau sebagaimana orang Arab yang lain terhadap kepercayaan karut menyembah berhala.


Sedangkan ketika itu kenabian Muhammad SAW sudah dekat dan di ambang pintu bahwa dari tanah Arab itu, satu cahaya Tauhid dan sinar kebenaran akan memancar ke seluruh dunia.


Walaupun apa yang berlaku, Nasrani dan Yahudi telah menolak kerasulan Nabi Muhammad kerana baginda tidak dilahirkan di kalangan mereka, tetapi kita juga sewajarnya mempunyai semangat seperti mereka.


Yang tidak sabar untuk menantikan kelahiran Nabi Muhammad kerana tidak sabar untuk mengikuti segala ajaran baginda! Begitu sahaja kita menyambut Hari Maulidur Rasul, berselawat terhadap baginda sahaja adalah mesti tetapi akuilah banyak lagi khazanah Rasulullah masih banyak tidak digali!


Sumber: SITI AINIZA KAMSARI

Categories:

0 comments: