Assalamualaikum WBT

Dec 25, 2012

Sentiasa syukur nikmat Allah

UMAT Islam kini berdepan pelbagai isu membabitkan akidah dan iman. Fahaman pluralisme dan liberalisme yang mula menapak dilihat antara ancaman besar kepada umat Islam. Penerapan fahaman yang menganggap semua agama itu sama perlu ditolak. Iman adalah perkara terpenting kerana ia membezakan antara orang mukmin dan kafir. Dengan memiliki keimanan, umat Islam mempercayai dan mempunyai rasa cinta terhadap Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya. Bertuah sesiapa yang berjaya mendapat nikmat cinta sejati itu. Mereka bukan saja merasai manisnya iman, tetapi tergolong di kalangan umat Muhammad s.a.w yang akan memperoleh syafaatnya di hari akhirat. Kemanisan iman hanya boleh dicapai jika berusaha mendapatkannya. Namun, sukar memperolehnya jika jiwa masih dikotori perasaan cintakan dunia, pelaku maksiat tegar serta mereka yang hitam dan mati hatinya. Akidah juga pastinya tercalar dan rosak akibat perbuatan, pertuturan dan kepercayaan yang bertentangan dengan prinsip keimanan dalam Islam. Firman Allah SWT di dalam surah As-Syura ayat 52 bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau suatu roh (al-Quran yang menghidupkan hati) daripada perintah Kami. Engkau belum tahu, apakah kitab dan apakah iman? Tapi Kami jadikan ia (al-Quran) menjadi nur (cahaya penerangan), Kami tunjuki dengannya, siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau menunjuki ke jalan yang lurus.” Tidak semua Muslim dapat merasainya. Tingkatan iman dan kemanisan iman yang dinikmati seseorang Muslim bergantung kepada beberapa prinsip iaitu kasih kepada Allah dan rasul-Nya mengatasi segala-galanya, kasih kepada manusia dengan tujuan menuntut keredaan Allah dan membenci kepada kekufuran. Bagaimanapun, kunci utama menuju jalan Allah ialah apabila seorang hamba menjaga ibadah wajibnya. Golongan yang lalai dengan tanggungjawabnya termasuk dalam kalangan orang yang derhaka dan fasik. Apabila berada pada tahap iman yang kukuh, seseorang akan merasai kemanisan iman. Ketika itu, imannya sukar digugat sesiapa. Tiada seorang manusia pun di dunia ini memiliki segala-galanya. Apa saja nikmat sama ada kesenangan atau kesukaran jika tersemat iman di dada, seseorang akan meletak setiap perkara secara seimbang. Mereka sentiasa menjadi golongan yang bersyukur, sabar, qanaah, reda, berlapang dada dan sentiasa bertawakal dalam setiap nikmat dan dugaan yang ditimpa kepadanya. Bayangkan, golongan kaya yang sentiasa tidak merasa cukup, bersifat bakhil dan mementingkan diri sendiri apa sumbangan yang dapat mereka lakukan untuk mendapatkan keredaan Allah? Begitu juga dengan golongan berilmu pula bersikap meninggi diri sehingga merendahkan pandangan orang lain. Kemanisan iman yang dirasai membuatkan hidup seseorang sentiasa bahagia. Mereka yakin apa yang ditakdirkan Allah semuanya ada hikmah dan kebaikan di sebaliknya. Keyakinan itu merubah segala yang buruk menjadi kebaikan, kekurangan sebagai kelebihan. Justeru, pemburuan untuk hidup, mati dan akhirnya memasuki syurga Allah dalam keadaan beriman pada hari akhirat kelak perlu diusahakan dan dicapai sepanjang hidup. Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, setiap Muslim perlu memastikan diri mereka bukan saja bergelar Muslim malah memiliki keimanan teguh kepada Allah dan rasul-Nya. “Terdapat rukun iman yang wajib kita percaya dengan kepercayaan qat’i (putus), tanpa sebarang syak dan ragu. Kebanyakan kandungan rukun iman adalah perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. “Ia menjadi perkara asas dalam menguji tahap keimanan seseorang Muslim. Bagi mereka yang mempercayai dan mengimani semua rukun iman itu dengan yakin, iman mereka sentiasa utuh, meskipun cabaran terhadap akidah silih berganti,” katanya. Dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak ayat yang menjelaskan perihal orang beriman. “Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta).” (Surah al-Mukminun, ayat 1-5). “Dalam surah al-Mukminun, Allah SWT secara jelas menyatakan ciri-ciri orang yang beriman menurut kehendak-Nya. Manakala dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) “Dari ayat al-Quran dan hadis ini, jelas Allah SWT menjelaskan ciri yang perlu ada bagi melayakkan seseorang Muslim bergelar Mukmin. Iman seseorang manusia sentiasa dalam keadaan meningkat dan menurun. “Justeru, perkara yang dijelaskan Allah berkaitan perbuatan atau amalan orang beriman perlu sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan bagi memastikan iman terus meningkat,” katanya. Beliau berkata, umat Islam wajib menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosak serta memusnahkan iman. “Yang terbesar sekali ialah dosa syirik kepada Allah. Apabila terjebak dalam jenayah ini, hilanglah iman dan lenyaplah semua amalan yang diusahakan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan kalau mereka menyekutukan Allah (syirik) dengan sesuatu yang lain, nescaya gugurlah daripada mereka, apa yang mereka lakukan (daripada amalan yang baik).” (Surah al-An’am, ayat 88). “Timbul persoalan bagaimana bagi mendapatkan kemanisan iman. Ia dapat dirasai sekiranya kita sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan ciri orang yang digelar Mukminun (orang yang beriman), menjauhi sifat Musyrikun (orang yang syirik kepada Allah). “Terdapat hadis Rasulullah yang menjelaskan mengenai ‘halawatul iman’ ini. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang (maka dengan perkara itulah) dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain daripada keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya), sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). “Menerusi hadis ini, terdapat tiga perkara yang apabila ia diusahakan betul dan ikhlas, individu itu akan merasai kemanisan iman. “Jika diperhatikan, semuanya berkaitan dengan keimanan kita kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Jelas, keimanan kepada keduanya menjadi tunjang utama bagi mendapatkan kemanisan iman,” katanya. Sekiranya dalam diri seseorang Muslim masih ada yang lebih utama selain Allah SWT dan rasul tidak mungkin mereka dapat merasai kemanisan iman. “Allah menjelaskan sekiranya kita cintakan Allah, ikutlah semua perkara yang dibawa Rasulullah. Ikutlah sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 31). “Apa saja yang kita lakukan mesti selari dengan tuntutan Allah dan rasul. Ia perkara asas yang perlu difahami,” katanya. Menurutnya, Islam menerima dan mengiktiraf perbuatan baik yang dilakukan umatnya selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip yang digariskan. “Amal kebaikan itu pula tidak akan jadi sia-sia sebaliknya diberi ganjaran. Setiap keberkatan dan nikmat yang diterima daripada Allah SWT, menjadikan kita terus mengingati-Nya pada setiap masa. “Itulah tanda kita sedang merasai nikmat kemanisan iman. Ketenangan dalam hidup yang kita rasai hasil daripada mengingati Allah juga antara tanda kita sedang merasai nikmat iman. “Mana mungkin nikmat turut dirasai mereka yang kufur terhadap-Nya,” katanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingat Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28) Oleh Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my

Apr 19, 2012

Hutang Perlu Dibayar Segera



ORANG zaman sekarang ramai yang berhutang ‘keliling pinggang’ kerana perlu membayar ansuran kereta, pinjaman pendidikan, kad kredit malah ada yang berhutang untuk melangsungkan perkahwinan.

Bukan saja golongan yang sudah lama bekerja, dilema berhutang juga melanda golongan pelajar yang baru mula bekerja.

Ada yang diisytiharkan muflis gara-gara tidak mampu membayar hutang selepas menggunakan kad kredit.

Ada yang membuat pinjaman peribadi daripada institusi kewangan atau koperasi untuk belanja perkara yang tiada keperluan. Akhirnya setiap bulan terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi.

Bagi mereka yang ‘sesak’ dihimpit bebanan kewangan, tawaran membuat pinjaman peribadi itu dianggap penyelamat.

Hakikatnya, kemudahan kewangan yang diperoleh itu makin menambah beban dan serabut dalam kehidupan mereka.

Bagaimanapun, jika kewangan diurus dengan bijak, tidak timbul juga perkara sedemikian. Cuma, dalam masyarakat kita, ramai berbelanja melebihi kemampuan selain berbelanja ikut nafsu.

Bayangkan untuk bersaing dengan kawan-kawan, ada membuat pinjaman setiap tahun untuk bercuti, menukar set televisyen daripada 32 inci kepada 42 inci, sofa baru dan kereta baru.

Jauh sekali untuk memupuk amalan menabung dalam kehidupan. Duit gaji diterima setiap bulan banyak disalurkan untuk membayar semua hutang itu.

Barangkali ada yang membuat pinjaman peribadi hanya melihat kemampuan mereka membuat bayaran ansuran bulanan. Pada mata kasar sememangnya tidak memberi kesan.

Namun, kira kembali kadar faedah yang dikenakan, peminjam sebenarnya terpaksa membuat bayaran berlipat kali ganda. Tidak cukup meminjam daripada institusi kewangan, ada yang ‘menempah maut’ meminjam daripada along.

Islam jelas menyatakan kesan berhutang meninggalkan kesan negatif kepada manusia kerana hidup tidak tenteram apatah lagi beban hutang akan dibawa hingga ke liang kubur jika tidak melunaskan perkara itu.

Malah, sifat orang berhutang juga cenderung untuk melakukan pembohongan apabila diminta untuk menjelaskan hutang mereka.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), berkata Islam mengharuskan umatnya berhutang, tetapi setiap hutang perlu dibayar semula.

“Dikhuatiri perkara ini akan menjadi budaya tidak sihat di kalangan umat Islam. Meskipun pada asalnya hukum berhutang itu harus, ia boleh bertukar wajib sekiranya seseorang itu perlu berhutang bagi memenuhi tuntutan agama seperti memiliki pakaian untuk menutup aurat.

“Berhutang boleh jadi haram sekiranya dilakukan untuk tujuan maksiat seperti berjudi, membeli dadah serta bermegah-megah dengan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Beliau berkata, konsep hutang yang diharuskan Islam itu membuktikan betapa akrabnya hubungan persaudaraan antara umat Islam.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak boleh menganiaya atau membiarkan (Muslim itu) dianiaya. Dan sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang membebaskan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Bagi mereka yang terpaksa berhutang atas sebab yang dibenarkan syarak, mereka akan menanggung amanah untuk melunaskan hutang berkenaan.

“Hutang itu perlu segera dijelaskan selain memanfaatkan wang itu untuk perkara yang menjadi keutamaan buat mereka,” katanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 283).

Menurutnya, Islam amat prihatin terhadap rezeki dan kemampuan umatnya malah Allah sentiasa memberi bantuan kepada hamba yang mengingati-Nya ketika susah dan senang.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu. Namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

“Ramai di kalangan kita yang membuat pinjaman peribadi untuk mendirikan rumah tangga. Dalam hal ini, mereka perlu faham tujuan perkahwinan adalah untuk memenuhi tuntutan agama.

“Tiada masalah sekiranya terpaksa membuat pinjaman bagi tujuan demikian. Cuma, majlis mesti diadakan secara sederhana dan bukan besar-besaran atau untuk menunjuk-nunjuk.

“Hutang perlu dibuat mengikut kemampuan diri dan dilunaskan mengikut perjanjian dimeterai. Jika tidak ia akan menjejaskan keberkatan ibadah perkahwinan,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata, isu pinjaman tabung pendidikan daripada PTPTN, Mara, JPA atau yayasan negeri pinjaman itu diharuskan Islam kerana membabitkan perkara baik.

“Namun, ia perlulah dibuat mengikut tatacara yang dipersetujui kedua-dua pihak. Selepas pinjaman dibuat, setiap individu bertanggungjawab menjelaskan kembali pinjaman hutang mereka.

“Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian (yang dipersetujui).” (Surah al-Ma’idah, ayat 1).

“Sebagai peminjam, mereka perlu berfikir dan meneliti terma dan syarat yang dikenakan pihak pemberi pinjaman. Jika tidak bersetuju maka dari awal lagi mereka perlu mengelak daripada membuat pinjaman itu.

“Jika persetujuan dicapai, tiada alasan bagi mereka untuk berdolak-dalih untuk melunaskan hutang kerana dosa berhutang amat besar,” katanya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Hadis riwayat Muslim).

Beliau berkata, budaya membuat pinjaman daripada pihak yang mendatangkan bahaya seperti along dinasihatkan supaya mereka banyakkan bersabar dan sentiasa berfikiran waras.

“Sekiranya mereka berikhtiar dan bergantung harap kepada Allah pasti akan ada jalan keluar terbaik daripada masalah kewangan.

“Budaya meminjam daripada along perlu dihindari kerana mereka berdepan bahaya jika gagal melunaskan hutang mereka. Islam tidak membenarkan umatnya terjebak dalam gejala yang membinasakan,” katanya.

Firman Allah di dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Katanya banyak masalah timbul daripada amalan berhutang berpunca daripada sikap individu yang gagal memanfaatkan hal itu dengan baik.

“Justeru, jika perlu berhutang dan yakin dapat mengurusnya dengan baik, ia tidak menjadi halangan.

“Berhutang boleh menjerumuskan seseorang itu kepada nifak (menjadi golongan munafik) kerana sifat seperti dusta dan mungkir janji,” katanya.

Rasulullah pernah ditanya sahabat tatkala Baginda berdoa supaya diselamatkan daripada bahaya hutang. Rasulullah berdoa yang maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu Baginda ditanya sahabat: “Mengapa kamu sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, maka apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Jan 29, 2012

Mengapa remaja Melayu layu?



Kemerdekaan yang kita terima dan isi sepatutnya menjadikan remaja lebih bertenaga dan berwibawa. Sebaliknya proses pembangunan dan perubahan sosial tidak dapat dimanfaatkan oleh kebanyakan para remaja. Terdapat sebahagian remaja Melayu dalam jumlah yang agak membimbangkan terjebak dengan ketirisan jati diri dan menjalani hidup dalam keadaan keliru dan celaru. Ini boleh menyebabkan kelangsungan generasi Melayu menjadi 'layu'.

Abad ini adalah abad persaingan yang menuntut remaja yang berilmu dan mempunyai etika yang tinggi. Masalah sosial yang terjadi, penyalahgunaan dadah yang bertambah, kegiatan rempit yang berlaku, kadar penceraian yang tinggi serta amalan zina dan pembuangan bayi yang meningkat bukanlah suatu gambaran menarik kepada generasi muda. Generasi inilah yang bakal mengambil alih tampuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kepimpinan negara. Ia adalah gambaran suram yang menyebabkan Melayu itu bertambah 'layu'.

Ia bermula dalam pendidikan keluarga yang tidak seimbang. Anak-anak tidak dibina dalam suasana yang fitrah. Keciciran banyak terjadi dalam pembinaan keluarga dan ia menyebabkan keciciran berterusan di sekolah dan dalam masyarakat. Remaja Melayu amat terdedah dengan simpang siur, silang budaya yang kehilangan arah. Ia menyebabkan remaja Melayu mengalami sindrom ketagihan terhadap hiburan, gemar menonton filem-filem tahyul, seram dan hantu yang tidak mampu meningkatkan akal budi insani dan mudah cair dengan cabaran nafsu nafsi dan akhirnya menjerumuskan remaja Melayu ke kancah kerosakan.

Terlihat oleh kita sistem perubahan sosial berlaku dalam dua ekstrem. Di satu pihak cuba membentuk pemikiran generasi muda kearah kebaikan dan kemakrufan. Di sisi lain terdapat usaha dan kegiatan menjadikan mereka orang-orang yang lagha, cuai, dan lalai terhadap amanah keremajaan. Ia menyebabkan konflik sikap dan pemikiran terjadi. Akhirnya menyebabkan sebahagian remaja Melayu menjadi 'layu'.

Sindrom 'kelayuan' ini boleh menyebabkan remaja Melayu hilang pedoman dan arah dalam hidup dan akhirnya menjadi mangsa kepada persekitaran. Persekitaran yang tidak baik bakal membentuk pola berfikir dan binaan sikap yang lemah. Ia tidak akan menghasilkan pemikiran kreatif yang berpotensi untuk membawa perubahan dan pemikiran kompetitif untuk berdepan dengan cabaran dan saingan. Minda remaja Melayu akan menjadi lemah, suka bergantung kepada orang lain dan menjadi pengikut kepada agenda orang lain.

Oleh itu, amat penting generasi muda Melayu membina jati diri atas prinsip perubahan ke arah sesuatu. Remaja Melayu patut menginsafi bahawa ianya tidak boleh berlaku tanpa ilmu, kemahiran serta akhlak. Remaja Melayu yang jauh daripada pendidikan Islam dan tidak menjadikan Islam dan etikanya sebagai pedoman bakal terdedah menjadi mangsa zaman. Sifat zaman yang pantas berubah mengingatkan kita dengan kata-kata Saidina Umar r.a yang menyebutkan "Didiklah generasi muda dengan ilmu yang sezamannya".

Ilmu yang sesuai dengan zaman, pada hemat penulis ialah ilmu yang integratif, yang menyepadukan ilmu akal dengan ilmu wahyu (ilmu aqliah dan ilmu naqliah). Tanpa kekuatan ilmu, yang diolah secara wasatiyyah (berimbang), tidak mungkin kita mampu menyaingi terjahan globalisasi yang berlaku dengan hebatnya.

Reflektif terhadap tamadun Islam yang silam boleh membawa kepada proses integrasi dan islamisasi ilmu yang mampu mencetuskan perubahan dan tamadun. Kalau tidak, para remaja dan generasi muda akan kekal sebagai pengguna setia terhadap tamadun Barat yang belum tentu selari dengan tuntutan agama.

Para remaja yang mengikuti pendidikan agama mesti mampu membentuk pemikiran yang terbuka, tidak emosional dan taksub serta berfikir secara simplistik. Melakukan perubahan terhadap sistem menuntut pemikiran yang jelas, rancangan yang bijaksana dan strategi yang berwibawa.

Kalau pendidikan agama menjadikan para remaja gopoh berfikir, bersikap simplistik terhadap sesuatu, tidak bersedia mendengar pandangan orang lain ia bakal menghasilkan kejumudan dan kebekuan. Sikap jumud dan beku tidak boleh menghasilkan perubahan. Remaja bakal berada dalam kepompong berfikir yang lama dan tidak mampu melonjakkan diri dalam arus perubahan yang terarah.

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

Jan 17, 2012

Asas tauhid mesti diterap kukuh dalam pendidikan anak



Semai sifat mulia dari awal menerusi nasihat yang lembut

SABAN hari pelbagai masalah sosial dipaparkan dalam media cetak mahupun elektronik. Kes buang bayi yang tidak nampak kesudahannya, sumbang mahram, saudara kandung memperkosa ahli keluarga, hilang kewarasan akal hingga ada membunuh dan menyembelih anak sendiri.

Ini menggambarkan betapa masyarakat hari ini sedang mengalami penyakit jiwa yang agak parah.
Pelbagai kaedah penyelesaian dicadangkan bagi membendung kejadian ini daripada terus berleluasa termasuk memperkemaskan sistem pendidikan.
Pemantapan itu termasuk menekankan kepentingan pengajaran berunsur akidah, tasauf dan akhlak terutama dari sudut mempelajari teknik berkesan yang terbukti telah berjaya. Salah satu contoh ialah kaedah digunakan Lukman al-Hakim dalam memberi pengajaran serta pendidikan kepada anaknya.

Lukman atau nama penuhnya Lukman bin Ba’ura’, dari keturunan Azar, iaitu bapa kepada Nabi Ibrahim, dikenali sebagai seorang bijaksana yang diberikan hikmah oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Lukman bukanlah seorang nabi, tetapi dia adalah seorang hamba yang banyak bertafakur, kuat keyakinan, mengasihi dan dikasihi Allah SWT, dikurniakan-Nya kebijaksanaan.”

Kebijaksanaan Lukman ditunjukkan melalui pendidikan diterapkan dalam diri anaknya. Beliau mengguna kaedah sangat lembut melalui nasihat dan perbicaraan secara halus kepada anaknya.
Perkara asas ditekankan Lukman al-Hakim adalah penegasan kepada konsep tauhid melalui larangan melakukan syirik kepada Allah SWT yang bertepatan dengan konsep ‘awal agama ialah mengenal Allah’.

Ini juga berkait rapat dengan amalan azan dan iqamah yang dilaungkan ke telinga bayi sejurus selepas kelahirannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Mulakan kepada anak kamu dengan kalimah La ila ha illallah.”

Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya: “Didiklah anakmu dengan tiga perkara iaitu mencintai nabinya, mencintai ahli bait (keluarganya) dan bacaan al-Quran kerana ahli al-Quran itu mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama nabi.”

Asas Tauhid ini boleh diterapkan ke dalam diri anak melalui bisikan dan penerangan jelas terhadap perkara yang berlaku di persekitaran antaranya kejadian hujan yang boleh menumbuhkan tumbuhan, pertukaran malam dan siang, kejadian bulan dan bintang serta proses kejadian manusia.

Lukman al-Hakim juga menerangkan kepada anaknya konsep ihsan yang disebutkan Rasulullah SAW sebagai ‘engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, walaupun engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat engkau.”

Ayat disebutkan Lukman kepada anaknya menjelaskan bahawa setiap perlakuan hamba dalam pengetahuan dan kekuasaan-Nya juga walaupun sehalus biji sawi tetap dalam ilmu-Nya.

Justeru, anak perlu dididik berbuat kebajikan dan diterangkan kepadanya balasan baik kepada perbuatan baik, serta perbuatan buruk bagi setiap kesalahan dan dosa.

Konsep ihsan jika diaplikasi dalam kehidupan anak sejak kecil pasti akan dapat membentuk sikap jujur, berkata benar dan tidak khianat.

Dalam ayat selanjutnya, Lukman al-Hakim memfokuskan kepada beberapa adab mulia dalam kehidupan sebagai seorang anak iaitu berbuat baik dan menghargai jasa kedua-dua ibu bapa.

Seterusnya beberapa adab dan akhlak mulia diajar Lukman kepada anaknya antaranya suruhan melaksanakan solat, mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran, bersabar menerima ujian, larangan berlagak dan berjalan seperti orang sombong.

Suruhan melaksanakan solat adalah tanggungjawab besar ibu bapa terhadap anak. Rasulullah SAW menegaskan hal ini berdasarkan sabda yang bermaksud: “Suruhlah anakmu melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, pukullah jika mereka enggan melaksanakannya jika mereka sudah berusia sepuluh tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur (jika berlainan jantina).”

Begitu juga adab lain yang ditekankan Lukman kepada anaknya itu menggambarkan betapa perlakuan baik ini perlu dimulakan pada peringkat awal kanak-kanak. Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.

Untuk berjaya mendidik, ikutlah cara mereka yang telah berjaya. Lukman al-Hakim telah menunjukkan jalannya, terpulang bagaimana untuk melaksanakannya dalam kehidupan. Jika semua memahami dan mengambil pendekatan ini, ia dapat menyelesaikan penyakit sosial masyarakat.

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jelebu, Negeri Sembilan

Dec 6, 2011

Membina Suasana yang Subur untuk Islam



Ramai mempunyai tanggapan yang agak salah terhadap gambaran sebenar agama Islam. Ini kerana mereka gagal melihat Islam secara holistik.

Sebaliknya, mereka hanya melihat juzuk-juzuk tertentu dalam Islam yang disempitkan tanpa mengambil kira konsep dan prinsip yang saling melengkapi.

Jangan pula kita menjadi umpama kisah si buta melihat gajah. Menanggapi Islam secara sempit. Sekiranya seseorang itu mengamalkan Islam bukan secara keseluruhannya dengan meninggalkan segmen-segmen tertentu, maka dia tetap tidak menemui hikmah pensyariatan di sebalik amalan yang dipraktiskan.

Lebih merbahaya lagi, dia menimbulkan imej yang buruk di mata orang lain tentang Islam.

Maka, dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 208)

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT memerintahkan hambanya yang mukmin dan mempercayai akidah dan syariat Islam, agar mengerjakan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan seluruh larangan-Nya.

Tanggapan yang salah itu juga timbul disebabkan umat Islam gagal mempamerkan wajah sebenar Islam yang terbaik. Dalam diri mereka, terdapat dua unsur yang saling bercanggah antara satu sama lain yang sedang cuba dicantumkan oleh empunya diri iaitu Islam dan jahiliah.

Masakan Islam dapat diamalkan dan diterima oleh Allah SWT sedangkan jahiliah masih berbuah ranum dalam diri.

Atas dasar inilah, maka Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan penghijrahan yang besar dalam kehidupan mereka. Bukan hanya sekadar berpindah tempat tinggal dari Mekah ke Kota Madinah, tetapi untuk membuat anjakan secara total dalam akidah dan ibadah mereka.

Ini kerana, suasana di Mekah pada ketika itu tidak kondusif untuk Islam diamalkan secara komprehensif. Mungkin ia hanya sesuai untuk Islam mula-mula berputik.

Suasana Mekah pada waktu itu yang masih berserabut dengan amalan jahiliah menyebabkan baginda berhijrah ke Madinah.

Walaupun Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat di Mekah sudah mempunyai kekuatan pada waktu itu, tetapi ia tidak cukup sekiranya tidak dibantu oleh suasana yang sesuai.

Justeru, mereka berhijrah ke Madinah sebagai satu isyarat kepada umat Islam tentang kewajipan membina suasana dan keadaan yang subur untuk Islam dan proses keimanan itu berjalan rancak.

Ia juga sesuai untuk dikaitkan dengan kaedah fiqh: "Tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengan jalannya, maka jalan itu juga menjadi wajib."

Sesungguhnya asas yang kukuh amat perlu untuk melahirkan ummah dan daulah Islamiah. Laksana asas bagi binaan yang besar. Binaan yang terbesar ialah binaan Islam.

Memanglah sesuatu asas bagi binaan tidak akan kelihatan dengan jelas dan nyata di atas tanah yang rata serta-merta, meskipun banyak usaha dan titik peluh dicurahkan untuk menanam dan membenamkannya.

Mereka yang tidak arif atau orang yang mengharapkan natijah segera akan menganggap bahawa segala usaha dan waktu yang dihabiskan untuk menanam asas adalah sia-sia lantaran mereka tidak nampak kewujudan binaan yang tersergam di atas tanah yang rata itu.

Sesungguhnya, tahap atau peringkat meletakkan asas adalah paling sukar dan penting dalam proses pembinaan bangunan. Setiap waktu dan usaha yang dicurahkan untuk membina asas sesebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia.

Proses pembinaannya tidak boleh dihentikan dengan alasan belum nampak apa-apa hasil di permukaan tanah. Sudah tentulah bangunan Islam yang besar memerlukan waktu yang banyak dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asasnya.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: …Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh lagi susah bagi mereka… (al-Taubah: 42)

Kefahaman ini juga boleh dikaitkan dengan institusi-institusi yang mempromosikan produk-produk Islam yang ada di pasaran. Sudah sekian lama produk-produk Islam ini tersebar dalam masyarakat. Namun sejauhmana ia menambat hati masyarakat masih lagi perlu dinilai dari semasa ke semasa.

Apa yang penting ialah dalam kita membangunkan produk-produk ini, perlu juga kita membina suasana untuk produk ini subur bersama dengan nilai-nilai Islam di dalamnya.

Lebih-lebih lagi terdapat di kalangan pengguna akan melihat susuk tubuh institusi terlebih dahulu sebelum memilih produk yang ditawarkan sebagaimana masyarakat menerima Islam sebagai agama disebabkan para pendakwah yang telah menunjukkan imej yang baik dari segi akhlak, penampilan dan tutur bicara mereka.

Cuba kita perhatikan bagaimana Islam mula-mula disebarkan di Kota Melaka oleh saudagar-saudagar yang datang untuk melakukan perniagaan.

Semuanya bermula dengan akhlak dan tingkahlaku yang akhirnya memikat penduduk Melaka pada waktu itu.

We have a good product, but we do not have a good promoter. Demikianlah ungkapan terkenal dalam dunia pemasaran. Islam tidak cukup pada produk-produk yang diperkenalkan.

Akan tetapi ia turut merangkumi pengurusan yang cekap, perkhidmatan bergred A, layanan yang mesra dan cepat di samping sentiasa menjaga kualiti produk.

Semua itu terkandung di bawah tuntutan Islam. Barulah akan tercipta suasana untuk produk-produk Islamik untuk membenih, tumbuh, membesar dan seterusnya mengeluarkan buah yang memberikan manfaat kepada manusia sejagat.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Jul 25, 2011

Bertadabbur dengan al-Quran


NABI Muhamad SAW merupakan utusan Allah SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (al-Anbiyaa': 107).

Dalam menyeru manusia mentauhidkan Allah, baginda Rasulullah telah dibekalkan sebuah kitab yang menjadi sebesar-besar mukjizat kepadanya iaitu al-Quran.

Kitab terakhir ini mengandungi pertunjuk dan pengajaran yang sedikit pun tidak terdapat keraguan, apatah lagi kesalahan.

Firman Allah: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa (al-Baqarah: 2).

Mukjizat al-Quran sungguh berbeza dengan mukjizat Rasulullah kerana mukjizat-mukjizat tersebut hanya boleh disaksikan oleh mereka yang hidup di zaman baginda sahaja.

Sedangkan al-Quran boleh dilihat sehingga ke akhir zaman.

Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia yang tersembunyi dan hikmah yang boleh dikaji, diselidiki dan diterokai oleh umat manusia bagi mencari kebenaran sehingga ke hari kiamat.

Membaca al-Quran dan bertadabbur dengannya menjadikan hati yang keras bertukar lembut.

Ramai tokoh-tokoh manusia yang pada awalnya menolak Islam akhirnya beriman kepada Allah setelah mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Sebagai contoh di zaman Rasulullah antara mereka ialah Saidina Umar al-Khattab manakala di zaman moden pula ialah Malcolm X, Mike Tyson dan ramai lagi.

Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril melalui dua peringkat.

Peringkat pertama al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz (langit ketujuh) ke Baitul Izzah (di langit dunia) pada malam Lailatul Qadar iaitu malam yang penuh keberkatan di bulan Ramadan.

Peringkat kedua al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun.

Oleh kerana Allah yang menurunkan al-Quran, maka Dia jugalah yang berhak menjaga dan memelihara kesucian kitab ini daripada dicemari oleh pengubahsuaian manusia.

Hal ini dijelaskan oleh Allah: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya (al-Hijr: 9).

Buktinya dari dulu sehingga sekarang dan sampai hari kiamat, tidak ada seorang manusia yang sanggup mencipta satu ayat yang setanding dengan al-Quran.

Sedangkan jika dilihat dari sudut sejarah ketika al-Quran diturunkan kepada Rasulullah, masyarakat Arab jahiliah cukup mahir dalam mengarang sajak dan juga bersyair.

Biar pun begitu mereka tidak sanggup membuat satu ayat yang setanding dan setara dengan al-Quran.

Maka benarlah firman Allah: Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir (al-Baqarah: 23-24).

Berdasarkan ayat ini jika manusia masih berdegil dan tidak mahu beriman dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran maka bersiap sedialah dengan azab neraka di akhirat.

Oleh MOHD. HISHAMUDDIN MANSOR

Jul 11, 2011

Pewaris tugas Nabi Muhammad


ULAMA perlu memiliki ketinggian ilmu dan bersedia menyumbang pemikiran bagi pembangunan ummah sejagat selain membimbing manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w menyifatkan ulama seperti bintang di langit dengan memegang amanah bagi menjamin kesejahteraan umat Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang itu mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Mereka perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sebagai ulama mereka perlu memiliki sifat sabar, lemah lembut, berhikmah, bersikap ramah, menghormati pendapat orang lain dan saling menasihati serta memuliakan saudara lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berbicaralah dengan manusia menurut akal dan fikirannya. Gembirakanlah mereka dan janganlah dijauhkan; mudahkan jangan disukarkan.

Inilah cara menyeru manusia kepada agama Allah. Bersoal jawab dengan masyarakat sebaik-baiknya iaitu sehingga memuaskan hati dan menghilangkan keraguan mereka.

Sebab itu ulama wajib mengetahui pelbagai cabang ilmu. Jika tidak pasti, masyarakat mudah menolak ajaran yang bertentangan dengan ilmu pengetahuan mereka.

Perkara paling penting yang perlu dilakukan golongan ulama ialah menggalas tanggungjawab melindungi umat Islam daripada sebarang usaha penyelewengan agama seperti murtad, khurafat, bid’ah, syirik dan tahyul.

Maka umat Islam perlu mengiktiraf ulama sebagai pemimpin yang berwibawa. Ibnu Abbas berkata: “Ulama adalah orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi: Orang alim tentang Allah Maha Penyayang adalah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiat-Nya di samping yakin bahawa dia tetap akan menemui-Nya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Semakin tinggi ilmu yang dimiliki seorang ulama maka bertambah takut mereka kepada Allah. Mereka akan sentiasa menjunjung amanah bagi menyampaikan hak dan kebenaran.

Jelas karakter yang dimiliki golongan ilmuwan menjadi lambang kekuatan iman dan harapan umat Islam supaya kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang suci.
Berbeza dengan watak golongan ulama dunia di mana mereka hanya bermotifkan untuk mendapat habuan dunia. Apabila bertambah ilmunya, semakin ingkar mereka kepada perintah Allah.

Sebagai persiapan menghadapi pelbagai cabaran mendatang, ulama perlu sentiasa mengikuti perkembangan supaya mereka dapat menangani masalah semasa itu dengan baik.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah”. (Surah al-Maidah ayat 48)

Ulama berperanan menanamkan kesedaran dan memimpin masyarakat menghayati serta melaksanakan cara hidup selaras dengan tuntutan agama.

Bersikap berkecuali tidak boleh sesekali diamalkan golongan ulama kerana mereka perlu memperbetul serta menjelaskan perkara sebenar andai kata berlaku permasalahan di kalangan umat Islam.

Mereka perlu berpendirian tegas menangani sebarang isu berdasarkan ilmu agama yang dimilikinya. Tohmahan terhadap golongan ulama pasti timbul jika perjuangan menyebar dan menegakkan ajaran agama dicemari kepentingan peribadi seperti harta benda, kedudukan, pangkat dan penghormatan.

Abu Nu’aim menyatakan bahawa Nabi mengatakan: “Dua golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah.”

Terdapat kisah keberanian seorang ulama yang tidak mengejar pangkat dan kedudukan atau kepentingan seseorang iaitu Imam Nawawi.

Beliau tetap mengatakan sesuatu perkara itu benar menurut hukum. Menurut riwayat, apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang Tatar (Monggol) digunakan fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat bagi memenuhi kepentingan perang melawan musuh.

Seorang ulama fiqh dari Syam menulis menerangkan fatwa itu tetapi baginda masih tidak berpuas hati jika Imam Nawawi tidak memberi fatwanya.

Baginda seterusnya menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan.

Beliau tidak mahu memberi fatwanya dan memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan keengganannya. Beliau dapat tahu bahawa baginda memiliki 1,000 hamba.

Setiap seorang mempunyai beberapa ketul emas manakala 200 khadam wanita baginda memiliki barang perhiasan bernilai. Jika baginda membelanjakan semua itu demi keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang itu, maka beliau bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan baginda mengambil harta rakyat.

Imam Nawawi berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selagi kekayaannya tidak digunakan. Sultan al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya amat menggemparkan sehingga baginda memerintahkan beliau keluar dari Damsyik.

Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya itu. Namun ulama Syam berusaha menjemputnya pulang tetapi beliau enggan selagi baginda masih berkuasa.

Ulama perlu berani menyatakan pandangan mereka terhadap perkara yang dirasakan bertentangan, namun setiap teguran itu perlulah dilakukan dengan penuh hikmah.

Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, ulama adalah golongan yang Allah kurniakan kepada mereka ilmu agama yang tinggi hasil daripada bertahun-tahun lamanya mereka menuntut ilmu.

“Allah berfirman dalam Surah Faathir ayat 28 yang bermaksud: “Hanya yang takut kepada Allah ialah ulama-ulama di antara hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

“Maka jelaslah apabila semakin tinggi ilmu mereka tentang kejadian alam yang dijadikan Allah maka bertambah takut mereka kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua bahagian ulama iaitu ulama akhirat dan ulama dunia yang menjalankan peranan berbeza-beza.

“Sebagai pewaris tugas Nabi Muhammad, mereka perlu sentiasa menegakkan kebenaran dan tidak takut dengan manusia.


“Terdapat ulama yang menggunakan ilmu mereka bagi menyebar luas dakwah ke seluruh pelosok dunia bagi mendapatkan keredaan Allah semata-mata manakala ulama dunia menggunakan peluang untuk mengejar pangkat serta kedudukan,” katanya.

Mohd Rani berkata, tugas penting seorang ulama akhirat ialah berusaha semampu mungkin berdakwah kepada semua golongan dalam melahirkan umat Islam berilmu dan bertakwa.

“Ulama perlu tegas dan berani menyatakan pendirian mereka dalam satu isu yang bersalahan dengan syariat. Yang betul katakan dengan jelas ia benar manakala yang batil jangan sesekali membisukan diri.

“Golongan ulama tidak pernah takut terhadap apa saja bentuk halangan yang menimpa diri mereka. Jauh sekali jika mereka tahu kesalahan itu tetapi mengambil jalan mudah hanya mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

“Daripada hadis ini, kita dapat saksikan ulama yang dimaksudkan ialah ulama su’ (jahat). Ulama seperti ini hanya memandang hal keduniaan,” katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Jun 19, 2011

Islam agama berteras kasih sayang : Qazaf dan Pengertian


QAZAF dari sudut bahasa bermaksud ‘al-Ramy’ iaitu lempar. Menurut istilah hukum syarak, qazaf adalah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik atau menafikan keturunannya.

Bentuk lafaz yang dikira dalam kategori qazaf adalah seperti seseorang berkata: “Wahai penzina! Engkau berzina dengannya! atau mengatakan kepada seseorang, Ini bukan anakmu! (dengan maksud menuduh ibu berzina)."


MUNGKAR...setiap individu Muslim perlu merasakan diri mereka sentiasa diperhatikan Allah dalam setiap perbuatan maksiat yang dilakukan.

Pengharaman qazaf dinyatakan melalui hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a yang maksudnya: “Jauhilah tujuh kesalahan yang merosakkan, mereka (sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah dia? jawab Baginda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan Allah kecuali dengan haq, memakan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari peperangan dan melempar tuduhan zina kepada wanita beriman yang cuai.”

Hukum hudud bagi qazaf pula sabit melalui al-Quran ayat 4 Surah al-Nur yang bermaksud: “Orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya kemudian mereka tidak membawakan empat saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasik.”

Bahagian qazaf terbahagi kepada dua iaitu melemparkan tuduhan zina secara sarih (jelas) dan melemparkan tuduhan zina secara sindiran.

Tuduhan zina secara sarih memang tiada sebarang keraguan pada makna yang jika ada empat saksi atau pelaku membuat pengakuan maka ia patut dikenakan hudud.

Secara sindiran pula iaitu menafikan nasab seseorang kepada bapanya, contohnya menuduh dengan berkata, “Kamu bukanlah anaknya” yang seolah-olah menuduh ibunya berzina.

Hukumannya adalah sebatan 80 kali, tidak boleh menjadi saksi, sehinggalah dia bertaubat nasuha dan melakukan amal soleh.

Syarat pelaksanaan hudud bagi jenayah qazaf tidak dilaksanakan melainkan dengan lengkapnya beberapa syarat bagi mengelak berlaku ketidakadilan.

Dalam satu hadis sahih Muslim daripada Abu Hurairah diriwayatkan Saad bin Ubadah bertanya kepada Rasulullah s.a.w jika dia (Saad) terserempak dengan isterinya sedang berzina dengan seorang lelaki, adakah dia masih perlu menunggu sehingga terdapat empat orang saksi? Rasulullah s.a.w menjawab, “Ya.”

Namun, dengan gugurnya hukum hudud tidaklah bermakna mereka yang melakukan kesalahan tanpa bukti terlepas daripada sebarang hukuman, sebaliknya ia digantikan dengan hukuman takzir yang ditetapkan pemerintah atau hakim.

Sama ada hukuman itu dalam bentuk penjara atau sebatan yang lebih ringan daripada hukuman hudud. Perkara yang menggugurkan hukum hudud bagi jenayah qazaf apabila diwujudkan ‘al-Bayyinah’ iaitu empat orang saksi yang boleh diterima kesaksian mereka atau ‘al-Maqzuf’ (tertuduh) membuat pengakuan, hukuman hudud berpindah daripada al-qazif kepada al-maqzuf.

Hudud qazaf berkaitan hak manusia dan ia gugur apabila manusia menggugurkannya. Li ‘an pula jika pelaku qazaf itu adalah suami dan tertuduh adalah isteri.

Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 6-9 yang bermaksud: “Dan orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah empat kali bahwa sesungguhnya dia orang yang benar. Sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia orang yang dusta.

Bagi menghindarkan hukuman kepada isteri (yang kena tuduh) dia hendaklah bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah orang yang berdusta. Sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata) bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya orang yang benar.”

Untuk memastikan kesaksian dalam kes tuduhan zina itu adil, ditetapkan syarat iaitu saksi dalam tuduhan zina mestilah empat lelaki dan jika yang menjadi saksi itu empat wanita, maka semuanya dikenakan qazaf.

Kedua, mereka hendaklah merdeka dan jika hamba menjadi saksi, akan dikenakan hudud, tetapi separuh sahaja iaitu 40 sebatan.

Ketiga, saksi hendaklah daripada kalangan Muslim dan jika kafir tidak diterima kesaksiannya.

Terdapat kisah fitnah yang membabitkan Aisyah r.a, isteri Rasulullah. Ada sahabat yang dihukum 80 sebatan kerana kesalahan qazaf kerana bercakap perkara itu sedangkan Abdullah bin Ubai yang memulakannya terlepas daripada tuduhan.

Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fadhlan Mohd Othman berkata, membawa empat saksi sebagai bukti pertuduhan zina menunjukkan Islam agama yang berteraskan kasih sayang dan bukannya agama hukuman atau kekerasan.

“Ini dapat dilihat dari sudut kelemahan manusia apabila sering terjadinya perselisihan, pergaduhan atau pertengkaran dalam kalangan mereka dalam pelbagai urusan.

“Ada kalanya dengan iman yang lemah disulami dengan kejahilan menebal, mungkin ada kalangan manusia ini tergamak mengeluarkan tuduhan palsu terhadap orang yang dibencinya.

“Di sinilah Islam mempertahankan maruah umatnya dengan menuntut si penuduh untuk mendatangkan bukti, bukan seorang, dua atau tiga, tapi empat saksi! Tujuannya untuk memastikan tidak berlakunya komplot untuk menjatuhkan reputasi seseorang yang dibenci dan dimusuhi,” katanya.

Beliau berkata, jika manusia kembali kepada ajaran Islam, mereka akan mendapati jenayah dan maksiat zina dapat dicegah dengan penerapan muraqabah.

“Di sini seseorang hamba akan percaya Allah sentiasa memerhatikannya. Nilai mulia ini adalah tahap wajib dalam al-ihsan.

“Jika kita yakin Allah memerhatikan gerak-geri kita pasti zina dapat dihindari. Justeru, semua pihak perlu membantu bagi tujuan itu.

“Contohnya, rancangan televisyen yang mengghairahkan perlu dihapuskan atau dikurangkan.

“Rancangan yang membina kerohanian dan spiritual Islam perlu diperbanyakkan, urusan perkahwinan perlu dipermudahkan dan media cetak perlu kembali kepada tugas pendidikan jiwa bukan hanya mengaut keuntungan,” katanya.

Dr Fadhlan berkata, antara kisah qazaf yang berlaku pada zaman Rasulullah adalah kisah ‘Uwaimir bin ‘Ajlan yang menuduh isterinya berzina lalu Rasulullah mengarahkannya untuk melaksanakan li’an.

“Kisah ‘Uwaimir ini dicatatkan al-Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no 4745.
“Juga, kisah golongan �munafik menuduh ibu umat Islam, Aishah binti Abu Bakr r.a (isteri Rasulullah) dengan perbuatan zina apabila Allah menurunkan ayat pada awal Surah al-Nur menyucikan beliau daripada tuduhan golongan munafik itu.

“Dengan turunnya ayat itu khususnya ayat 4 Surah al-Nur, Rasulullah melaksanakan hukuman sebatan 80 sebatan, antara lain ke atas Hassan dan Mistah yang turut menyebarkan tuduhan golongan munafik walaupun mereka berdua bukan tergolong dalam golongan munafik,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes zina, empat orang saksi itu mestilah mempunyai sifat tertentu.

“Saksi mestilah baligh, berakal, merdeka, melihat (tidak buta), Muslim, adil (iaitu melaksanakan kewajipan dan menghindari perkara haram), sedar/pasti (tidak lalai), tidak dikenakan hudud qazaf, lelaki dan tiada kesangsian.

“Justeru, saksi yang tidak solat contohnya, kesaksiannya tidak diterima kerana dia fasik. Seterusnya, dalam kes pertuduhan zina, jumlah saksi mestilah empat lelaki. Mereka perlu hadir secara serentak di hadapan hakim; jumhur ulama mensyaratkan perkara ini dalam persaksian kes zina manakala ulama mazhab Shafie tidak menjadikannya syarat,” katanya.

Dr Fadhlan berkata, undang-undang syariah di negara ini memperuntukkan hukuman takzir bagi kesalahan qazaf.

“Hukuman bagi qazaf sebatan 80 kali berdasarkan ayat 4 Surah al-Nur. Jika pemimpin ingin menambah hukuman maka tambahan itu dinamakan takzir.

“Wajar diberi perhatian di sini takzir tidak boleh menggantikan hudud. Cara pelaksanaan yang tepat adalah hudud di samping takzir dan bukannya menggantikan hudud dengan takzir.

“Semoga pihak yang berkuasa dapat menilai semula perundangan syariah di negara ini agar menjadi lebih global dan absah,” katanya.

Beliau berkata, pada asalnya orang yang mengadu dirogol atau diliwat secara paksa perlulah mendatangkan empat orang saksi atas satu pertuduhan.

“Akan tetapi disebabkan dia berada di bawah paksaan maka pastinya dia tidak dapat mendatangkan empat saksi. Dengan ini, mangsa rogol atau liwat secara paksa bolehlah melaporkan kepada pihak yang berkuasa dengan mendatangkan qarinah iaitu bukti lain seperti kesan luka dan cedera yang menunjukkan dia benar-benar dipaksa.

“Apabila mangsa mendatangkan bukti qarinah ini, dia tergolong dalam kategori shubhah atau kesamaran apabila perkara ini melindunginya daripada dikenakan hukuman hudud qazaf.

“Hakim boleh menjatuhkan hukuman takzir jika bukti yang diketengahkan seperti DNA, kecederaan dan luka itu meyakinkan.

“Orang tidak berzina atau meliwat, tetapi menuduh orang lain berzina atau meliwat pula tetap dijatuhkan hukuman qazaf ke atasnya (penuduh itu) jika tidak mendatangkan empat orang saksi,” katanya.

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Jun 12, 2011

Jangan riak dalam ibadat


SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah seperti pendapat jumhur. Ia mengandungi tujuh ayat dan diturunkan selepas surah al-Takathur. Ada pendapat mengatakan surah ini termasuk dalam Madaniyyah seperti pendapat Ibn Abbas dan Qatadah.

Dalam surah terdahulu, Allah SWT berfirman:

* (Dia telah memberi makan kepada mereka untuk menghilangkan lapar) manakala dalam surah ini Allah SWT mencela orang yang tidak menganjurkan memberi makan kepada orang miskin.

* (Hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini), manakala dalam surah ini Dia mencela orang yang lalai dalam sembahyang.

* Allah SWT menerangkan pelbagai nikmat yang diberikan kepada orang Quraisy padahal mereka mengingkari hari kebangkitan dan pembalasan. Dalam surah ini Allah SWT mengancam dan menakut-nakutkan mereka dengan seksaan-Nya.

Firman Allah SWT: Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim. Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Berkenaan dengan ayat pertama ini, ulama telah khilaf kepada enam pendapat tentang sebab turunnya:

* Kepada seorang lelaki di kalangan munafiqin seperti pendapat Ibn Abbas.

* Diturunkan kepada Amru bin A'iz seeprti pendapat al-Dahhak.

* Diturunkan kepada al-Walid Ibn al-Mughirah seperti pendapat al-Suddi.

* Diturunkan kepada al-'As bin Wa'il sebagaimana pendapat Ibn al-Sa'ib.

* Diturunkan kepada Abu Sufyan bin Harb seperti pendapat Ibn Juraij.

* Diturunkan kepada Abu Jahal sebagaimana pendapat al-Mawardi.

Perkataan al-Din yang bermaksud agama ditafsirkan oleh al-Mawardi dan lainnya kepada empat pendapat:

* Hukum Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Hari hisab sebagaimana pendapat Mujahid dan Ikrimah.

* Balasan pahala dan dosa seperti hikayat al-Mawardi.

* Al-Quran seperti pandangan sebahagian ahli tafsir.

Al-Mawardi menafsirkan maksud mengherdik anak yatim dengan tiga pendapat:

* Menghina dan memandang rendah kepada anak yatim. Inilah pendapat Mujahid.

* Menzalimi anak yatim sebagaimana pendapat al-Suddi.

* Mengasari anak yatim dengan keras seperti pendapat al-Dahhak.

Sayid Qutub berkata: Ayat ini dimulakan dengan pertanyaan yang dihadapkan kepada siapa yang boleh melihat.

Orang yang mendengar pertanyaan ini akan tertunggu-tunggu untuk melihat kepada siapa ia ditujukan dan jawapannya ialah, Itulah orang yang mengherdik anak yatim. Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

Mungkin jawapan itu memeranjatkan apabila dibandingkan dengan takrif keimanan yang biasa tetapi ini merupakan intisari hakikat keimanan iaitu orang yang mendustakan agama ialah orang yang menindas, menghina dan menyakiti anak-anak yatim dan tidak menggalakkan orang lain memberi makanan kepada orang miskin.

Jika benar ia mempercayai agama dan jika benar hakikat keimanan telah mantap di hatinya, tentulah dia tidak akan mengherdik anak yatim dan menganjurkan memberi makan orang miskin.

Hakikat mempercayai agama bukannya kata-kata yang dituturkan lisan tetapi perubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikan dan kebaktian sesama manusia.

Allah SWT tidak menghendaki kata-kata daripada manusia tetapi Allah mahukan tindakan yang mengotakan kata-kata mereka. Tanpanya ia tidak mempunyai nilai di sisi Allah SWT.

Tiada yang lebih tegas dari tiga ayat tersebut dalam menegakkan hakikat yang menggambarkan roh dan tabiat akidah Islam dengan gambaran yang jelas.

Kami tidak mahu termasuk dalam perdebatan fikah mengenai takrif keimanan dan Islam kerana bertujuan dijadikan asas untuk ditegakkan hukum-hukum muamalah. Surah ini jelas pada hakikat agama yang sebenar mengikut pertimbangan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. Orang-orang yang berbuat riak.

Ibn Mas'ud berkata: Demi Allah, mereka tidaklah meninggalkan langsung solat tersebut, tetapi kalau mereka meninggalkan semuanya sudah pasti mereka menjadi kafir. Sebaliknya, mereka banyak bertangguh dan tidak memelihara waktunya.

Sayid Qutub berkata: Mereka bersembahyang tetapi tidak mendirikan solat. Mereka melakukan gerak-geri solat dan membaca segala bacaannya tetapi tidak menghayatinya.

Jiwa mereka tidak menghadirkan hakikat solat dan isi bacaannya serta doanya. Mereka solat bukan kerana Allah tetapi semata untuk menunjuk kepada orang ramai. Tidak terkesan dalam jiwa bagi mereka yang lalai dalam solatnya. Mereka enggan memberi pertolongan kepada saudara mara mereka kerana kelalaian ibadah kepada Allah SWT.

Terdapat nas al-Quran yang mengecam orang yang tidak melakukan solat dengan sebenarnya. Mereka kerjakan solat untuk riak dan ia perbuatan yang sia-sia malah merupakan maksiat yang menunggu balasan yang berat.

Firman Allah SWT: Dan enggan (menolong dengan) barang berguna.

Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut: Maksud ma'un dengan enam pendapat:

i. Jarum, air, api dan kapak. Begitu juga dengan barangan yang menjadi keperluan rumah. Inilah riwayat Abu Hurairah.

ii. Zakat seperti pendapat Ali, Ibn Umar, al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah.

iii. Ketaatan sebagaimana pendapat Ibn Abbas pada satu riwayat.

iv. Harta benda seperti pendapat Said bin al-Musayyib dan al-Zuhri.

v. Perkara yang makruf sebagaimana pendapat Muhammad bin Ka'ab.

vi. Air. Inilah pendapat al-Farra'.

Al-Maraghi berkata: Mereka menolak sesuatu yang lazimnya penolakan itu tidak wajar berlaku kerana permintaan orang kafir ataupun orang kaya sehingga penolakan itu membawa kepada maksud tabiat yang tercela dan akhlak yang buruk. Barangan yang dimaksudkan itu seperti periuk, kapak, parang dan sebagainya.



Imam Muhammad Abduh berkata: Mereka itulah yang mengerjakan sembahyang tetapi ia sedikit pun tidak mendatangkan manfaat kepada mereka, tidak dapat membebaskan mereka daripada termasuk dalam golongan orang yang mendustakan agama malahan tidak ada bezanya antara mereka yang berpegang dengan syariat Islam atau sebaliknya.

Ini kerana hukum Allah SWT hanya satu sahaja. Ia tidak menerima mana-mana syariat agama yang mempunyai tipu daya dan tidak ada nilai kecuali syariat yang benar lagi praktikal.

Ini sesuai dengan kehendak Allah SWT selaku Tuhan yang menentukan batasan-batasan amalan dalam hukum-hukum syariat. Mereka yang dimaksudkan mengerjakan ibadah semata-mata untuk dilihat oleh orang lain, tidak menafkahkan harta dan tidak berasa bimbang dengan bahaya yang akan menimpa tubuh badan.

Seterusnya mereka melakukan kecacatan yang mengaibkan diri, tidak menghulurkan bantuan, tidak ada perasaan belas kasihan.

Ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh orang yang membenarkan agama yang membezakannya dengan pendusta agama ialah bersikap adil, belas kasih dan mendatangkan kebajikan kepada orang lain.

Ciri-ciri khusus pendusta agama; meremehkan hak orang lemah, tidak mengambil berat orang yang memerlukan bantuan, berbangga dan cintakan harta, bermegah-megah dengan kekuatan dan tidak melakukan kebajikan kepada orang yang berhak dibantu.

Sepatutnya kaum muslimin yang mengaku dirinya beriman itu mengukur keadaan dirinya dengan apa yang dibacanya dalam surah yang mulia ini.

Ini supaya mereka dapat mengetahui apakah mereka termasuk dalam golongan yang membenarkan atau golongan yang mendustakan agama?

Semoga masyarakat Malaysia menjadi masyarakat penyayang serta menjadi golongan yang suka membantu sesama individu.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

May 22, 2011

Umat Islam tidak bersatu beri ruang Barat bertindak kejam


PERUBAHAN peradaban manusia berlaku amat pantas. Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi.

Umat Islam dalam sejarah pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel pengganas.
Berita keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru.
Keganasan dan penindasan di Palestin contohnya, berlaku tanpa pembelaan sewajarnya.

Hari ini, ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh dari segi matlamat dan kaedah.

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih diamalkan pemimpin Islam sendiri.

Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat Islam. Jika kita lihat ketika ini kesatuan Islam masih lemah dan keadaan menjadi lebih buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman di samping masalah luaran dengan negara Islam lain.
Negara Islam hari ini, secara umum lemah dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Hingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih belum pulih. Kelemahan ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.

Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) hingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai.

Kebanyakan kita mengaku umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Kini sudah sampai masa umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.

Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam dapat dihindarkan.

Dalam dunia serba moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat imannya, tidak kurang juga yang jauh terpesong daripada landasan Islam. Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan kewajipan agama tidak pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam.

Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah serta mantap imannya seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat Baginda.

Jika perkara ini gagal ditangani pada peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam menjadi umat termundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa asing.

Oleh: Nor Aimi Mohd Tahir
Penulis ialah ahli panel penulis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Apr 12, 2011

Jasad Terseksa di Hujung Usia


SAKA dikaitkan dengan mewarisi jin yang membolehkan makhluk halus itu menjadikan pewarisnya dengan pelbagai kuasa ghaib seperti memiliki kecantikan, kekuatan luar biasa atau menjadi individu berpengaruh.

Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah haram di sisi Islam. Biasanya saka diwariskan kepada anak atau cucu kepada pemilik saka.

Saka adalah ilmu keturunan yang dipusakai ada hubung kaitnya dengan jin, sama ada dibela, dibuat sahabat secara sedar atau tidak oleh pemiliknya.


Gejala saka amat berbahaya dan mampu merosakkan kehidupan seseorang. Maka, penting kita menyiasat diri dan keluarga daripada mewarisi saka.

Masyarakat Melayu memahami saka sebagai ilmu yang dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya. Contohnya daripada ibu atau bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucunya, atau seseorang dalam lingkungan keluarga.

Kesan jangka panjang jika seorang yang mewarisi saka ialah mampu menjadikan seseorang itu mendapat sakit sehingga koma atau lumpuh.

Umumnya, kebanyakan orang yang memiliki saka berkebolehan merawat orang yang sakit disebabkan jin dan syaitan. Cara rawatannya dengan menurun menggunakan mantera atau jampi.


Bacaan dan amalan yang dilakukan itu amat meragukan serta sukar difahami. Ia bertentangan dengan syariat kerana mempunyai unsur syirik yang boleh merosakkan akidah.

Jika seseorang itu menyatakan hasratnya pada waris tertentu, seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau 'layak' mewarisinya.

Penurunan ilmu saka boleh berlaku secara tidak langsung apabila waris menerima barang tertentu peninggalan si mati seperti barangan kemas, keris, lembing atau tombak.


Syaitan akan sentiasa memastikan setiap manusia atau orang yang mewarisinya sesat ketika sampai ajal mereka. Pada mulanya memang saka kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya seperti melindungi diri, keluarga dan harta benda tetapi itu semua hanya tipu helah untuk menyesatkan manusia.

Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul dalam jangka masa panjang di mana kemuncaknya menyebabkan manusia itu berdosa besar kerana mensyirikkan Allah SWT.

Antara kesan buruk memelihara saka ialah pemiliknya menghadapi seksaan yang amat perit ketika menghadapi saat kematian kerana roh mereka sukar untuk keluar daripada jasad menyebabkan mereka terseksa ketika menemui ajal.

Situasi lebih dahsyat berlaku apabila pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.

Gangguan saka juga menyebabkan seseorang dilanda penyakit misteri. Justeru ahli keluarga atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada pemilik asal.


Bagi mereka yang sudah menerima, berusahalah untuk memutuskan hubungan dengan makhluk terbabit dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam yang menggunakan al-Quran dan sunnah sebagai kaedah rawatan.

Pengamal Perubatan, Pusat Rawatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, berkata saka adalah perjanjian yang dibuat antara nenek moyang dengan jin laknatullah untuk mendapat kehebatan, kekuatan, kecantikan, perlindungan tertentu melalui perjanjian tertentu dalam tempoh yang ditentukan (tujuh keturunan).

"Saka berada dalam tubuh badan manusia sejak sekian lama hingga menjadi sebati dengan manusia. Ia berlaku sama ada seorang itu mengetahuinya ataupun tidak.




"Jin berkenaan ditinggalkan nenek moyang pembawa saka apabila mereka meninggal dunia. Ketika hidupnya, mereka berkawan atau membela jin berkenaan yang dikenali dengan pelbagai nama dalam masyarakat kita seperti polong, pelesit, toyol dan sebagainya," katanya.


Beliau berkata terdapat kronologi bagaimana jin saka berpindah selepas kematian tuan punya saka berkenaan.

"Selepas nenek moyang yang membela jin terbabit meninggal dunia, jasadnya mati selepas roh keluar dari badannya. Namun Begitu, jin yang berdamping dengan nenek moyang itu tidak mati kerana umur jin bukan seperti manusia.


"Apabila jasad perumah saka dikebumikan, jin akan bebas seperti keadaan layang-layang yang terputus talinya. Maka ia akan berkeliaran di atas muka bumi ini untuk mencari pewaris baru," katanya.


Sharhan berkata kebiasaannya jin berpindah kepada anak cucu yang mengamalkan jampi tertentu yang diambil daripada si mati.

"Saka turut berpindah kepada waris seperti anak atau cucu yang menyimpan barang peninggalan si mati. Mereka berpotensi besar mewarisi saka disebabkan pernah tinggal serumah bersama si mati.

"Selain itu, golongan yang menjadi sasaran kepada saka adalah anak cucu yang cetek pengetahuan agamanya, sentiasa melakukan maksiat, meninggalkan ibadat seperti solat, mereka yang lemah fizikalnya serta memang terlalu menginginkan sangat kehebatan serta kelebihan nenek moyang mereka," katanya.


Beliau berkata memang terdapat pertalian erat antara jin dan saka kerana jin yang diwariskan itu umpama harta peninggalan.


"Terdapat hadis daripada Abu Tha'labah berkata. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Jin itu mempunyai tiga jenis iaitu jenis yang mempunyai sayap dan berterbangan di udara, jenis yang berbentuk ular dan anjing dan jenis yang berpindah randah.


"Jenis jin ketiga itu dikelaskan jenis jin yang menjadi saka kerana mampu berpindah dari satu keturunan ke satu keturunan di bawahnya," katanya.


Sharhan berkata mereka yang memiliki saka juga mempunyai kebolehan mengubati penyakit yang disebabkan oleh jin dan syaitan tetapi mereka menggunakan dengan cara meragukan.


"Kebanyakan mereka berubat dengan kaedah menurun. Pembawa saka mampu mengubat tetapi dengan menggunakan jampi yang mempunyai unsur syirik.

"Malah jampi yang digunakan langsung tidak difahami maknanya," katanya.


Beliau berkata terdapat amalan yang mampu menghalang seseorang itu menjadi mangsa saka dengan berkat keizinan Allah SWT.


"Segala bentuk gangguan jin dapat dielakkan dengan syarat kita percaya dan benar-benar yakin Allah yang menyembuhkan.

"Antaranya boleh mengamalkan zikir, membaca surah Mulk sebelum tidur, berwuduk sebelum tidur atau ketika mengadakan hubungan kelamin dengan isteri, jadikan amalan membaca surah Yaasin setiap Subuh, membaca Basmalah sebagai wirid setiap kali melakukan pekerjaan dan perdengarkan bacaan ayat ruqyah di dalam rumah," katanya.

Petanda seseorang mempunyai saka

Gejala waktu tidur

-Susah tidur malam.
-Sering terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas dan takut.
-Mimpi buruk yang dikenali sebagai kabus seperti mimpi melihat sesuatu yang mengancamnya kemudian menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa mendengarnya.
-Mimpi perkara menakutkan dan menyeramkan.
-Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, unta, ular, serigala, tikus.
-Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
-Ketawa, menangis dan menjerit-jerit ketika tidur.
-Berdiri dan berjalan ketika tidur.
-Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
-Mimpi berada di kawasan kotor atau di tanah perkuburan.
-Mimpi melihat budak kecil.
-Mimpi melihat salib atau gereja.
-merintih dan menangis ketika tidur.


Gejala waktu jaga

-Selalu pening kepala.
-Lalai mengingati Allah SWT
-Sering lesu dan malas.
-Rasa sakit di salah satu anggota badan.
-Sakit di belakang terutamanya tulang belakang.
-Lenguh sendi-sendi utama.
-Mempunyai ketumbuhan yang sukar diubati.
-Mudah panik apabila berhadapan dengan sesuatu ujian.
-Jiwa sentiasa lemah dan tiada motivasi untuk meneruskan hidup.
-Mudah marah dan panas baran.
-Emosional dan terlalu sensitif.
-Terasa seperti terdapat sesuatu di bawah tapak kaki seperti terpijak batu atau telur.
-Sentiasa mengantuk terutamanya dalam majlis ilmu.

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Mar 26, 2011

Pembuka Pintu Berkat


SETIAP manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah. Ia tidak hanya dikatakan sebagai wang ringgit tetapi pengertiannya amat luas sekali merangkumi kesihatan yang baik, ketenteraman jiwa, keturunan, isteri dan anak yang baik.

Ada yang runsing dan sering mempertikaikan masalah rezeki yang dimiliki. Mereka merungut kerana sudah bertungkus-lumus mencari rezeki namun kehidupan masih tidak berubah.

Sebagai hamba Allah yang beriman, anggaplah semua itu dugaan serta cabaran untuk menjadikan diri lebih kuat dan cekal berusaha.

Teruskan berusaha kerana setiap kejayaan pastinya memerlukan kerja keras tanpa berputus asa melaksanakannya.

Bersikap reda dan bertawakal supaya Allah memberkati segala yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi dan Pemurah atas rezeki untuk hamba-Nya.

Semua yang berlaku atas izin-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada Allah, maka keburukanlah yang diterima.

Jika mereka bertawakal kepada Allah maka Allah pasti mencukupkan keperluannya. Allah berfirman yang bermaksud:

“Barang siapa yang me­nyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesung­guhnya Allah menyampaikan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Taalaq ayat 3).

Namun tahukah kita sikap memberi atau bersedekah mempunyai kelebihan dalam urusan pencarian harta. Malah ia membuka pintu rezeki lebih luas kepada mereka yang melakukannya.

Amalan bersedekah penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki sese­orang hamba. Allah berfirman yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).

Tidakkah kita merasa tertarik dengan janji Allah berikan itu? Tidak dinafikan, semua orang mahu hidup senang; mempu­nyai rumah yang luas dan selesa, berkereta mewah, memakai pakaian cantik dan bercuti ke luar negara .

Namun dalam erti kata sebenar, kehidupan kita tidak berstatus kerana ada kalanya kita berada di atas dan begitulah sebaliknya. Tujuan kita hidup bukan untuk memenuhi nafsu tetapi kita perlu melihat kekurangan dan kesengsaraan orang lain.

Jika Allah ‘memberi’ pinjaman kekayaan kepada kita maka gunakan kesempatan itu untuk melihat segala yang berlaku di sekeliling. Sebenarnya masih ada lagi yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Justeru jalankan amanah kekayaan yang Allah kurniakan itu bagi membantu golongan memerlukan. Dalam rezeki Allah itu terdapat hak orang lain yang perlu dimanfaatkan.

Bersifat individualistik melambangkan seorang itu tidak berhati perut, sukar didekati dan orang ramai tidak menghormatinya. Walaupun memberi dalam kuantiti sedikit tetapi sedikit itulah keberkatannya.

Alangkah baik jika pendekatan mencari rezeki sambil menyumbang diterapkan dalam diri kita. Sabda Rasulullah:

“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).

Beri setakat mana termampu dulu kerana sumbangan sekecil itu menjadi pembersih harta kita. Sedekah orang yang kurang hartanya lebih besar ganjarannya.
Rasulullah bersabda:

“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).

Allah berfirman:

“Orang-orang yang menaf­kahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak me­nyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).

Apabila bersedekah, kita mesti iringi dengan perasaan gembira dan tidak boleh menyesal. Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusaha menyumbang tenaga dan fikiran bagi mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.

Rasulullah berbual dengan sahabat, maksudnya:

“Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah”, sahabat berkata: Bagaimana jika tidak mampu? Nabi menjawab: “Berusahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).

Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran.

Sahabat bertanya lagi: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Seelok-eloknya, galakkan diri bersedekah kepada ahli keluarga yang miskin dan memerlukan sebelum melaksanakannya kepada orang lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedekah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan.” (Riwayat At-Tirmidzi).

Bersedekah boleh meringan­kan bebanan orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. Rasulullah bersabda:

“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

Justeru, beberapa perkara perlu diambil perhatian demi kesempurnaan amalan sedekah antaranya barang yang disedekahkan mestilah baik. Tidak wajar sama sekali barang yang disedekahkan itu kita sendiri tidak tergamak menggunakannya.

Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah.

Kemudian sesuatu yang disedekahkan mesti halal.

Sunat jika bersedekah dengan benda atau barang yang disukai dan disayangi tidak kira ia banyak atau sedikit. Allah berfirman yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).

Jangan sesekali bersedekah kemudian mengungkit, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima kerana perbuatan itu haram serta merosakkan amalan sedekah.
Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata galakan kepada umat Islam bersedekah perlu supaya umat Islam terbela.

“Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal. Perbuatan ini lebih dekat kepada keikhlasan kerana menjauhkan diri daripada riak hingga merosakkan amalan.

“Penumpuan perlu diberikan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Mereka terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab (hamba yang menebus dirinya secara ansuran), al-gharimin (orang yang menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikannya), fisabilillah (berjuang di jalan Allah) serta ibnu sabil (musafir yang terputus bekalannya di perantauan).

“Setiap kali bersedekah pastikan niat kita ikhlas kerana Allah. Jika kita menderma hanya sekadar untuk mendapat pujian, nama atau pangkat ia tidak memberi sebarang makna,” katanya.

Beliau berkata, sedekah membuatkan seorang Muslim mendapat pelbagai nikmat dan kesan kehebatan sedekah itu dapat dirasai ketika berada di dunia lagi.

“Orang yang istiqamah bersedekah atau berinfak hartanya mudah menerima ilmu Allah, terhindar daripada penyakit, jiwa sentiasa tenteram dan menghapuskan sifat bakhil yang bersarang dalam diri.

“Tidak kira siapa kita sama ada kaya atau kurang hartanya mesti berusaha dan bersedia untuk bersedekah. Umpamanya jika kita mempunyai wang RM10 tidak mengapa jika bersedekah sebanyak RM1 kerana yang penting keikhlasan itu mendapat nilaian istimewa daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata ganjaran kepada mereka yang bersedekah cukup besar kerana apa saja yang mereka infak itu pahala terus diterima secara berkekalan.

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”

“Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan sebelum mata tutup buat selamanya. Jika kita sedekahkan al-Quran atau sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan, minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup besar,” katanya.

Mar 16, 2011

Waspada Dalam Berkata-Kata


Dalam menjalani kehidupan sehari-hari pernahkah kita terfikir untuk berhati-hati ketika meluahkan setiap perkataan daripada mulut kita?

Sememangnya boleh dikatakan semua orang memahami betapa pentingnya apabila mahu berkata-kata kerana jika tersilap langkah mereka boleh terjerumus ke dalam dosa.

Kita hanya sekadar menguar-uarkan pepatah kerana mulut badan binasa tetapi ramai yang tidak mematuhinya.

Pada dasarnya, ucapan mahupun perkataan merupakan cerminan jiwa. Maka itu, Nabi Muhammad SAW berpesan pilihlah kata-kata yang baik.

Dalam hal ini, baginda merupakan teladan terbaik. Setiap saat, Rasulullah senantiasa menggunakan kata yang baik dan lembut untuk umatnya.

Baginda menjauhkan kata-kata yang buruk, kasar, dan keji. Bahkan, Rasulullah sangat membenci jika ada kalimat yang digunakan tidak pada tempatnya yang sesuai. Misalnya, ada perkataan yang baik dan bermakna mulia namun diucapkan kepada orang atau sesuatu yang sebenarnya tidak berhak menyandang ucapan itu.

Begitulah juga sebaliknya, jika ada kalimah buruk dan bermaksud menghina tetapi ditujukan untuk orang atau sesuatu yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian memanggil orang munafik dengan panggilan tuan kerana jika dia memang seorang tuan, maka dengan panggilan itu kalian telah membuat Tuhan kalian murka".

Selain itu, umat Islam diminta menjaga ucapan yang mengandungi syirik. Seperti ucapan, "Aku meminta pertolongan kepada Allah dan kepadamu".

Sesuai tuntutan Rasulullah, mereka yang mengucapkan kalimat-kalimat seperti itu bererti telah menyekutukan atau sepadan bagi Allah SWT.

Dalam buku Berakhlak dan Beradab Mulia, Contoh-contoh dari Rasulullah, Saleh Ahmad asy-Syaami menambahkan, kalimat bernada mencela juga sebaik-baiknya dihindari. Peringatan itu juga disampaikan oleh Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan Bukhari, Muslim dan Muttafaaq alaih.

Rasulullah mengatakan: "Allah SWT berfirman, Anak keturunan Adam menyakiti-Ku, kerana mereka mencela masa, padahal Aku adalah Zat yang menciptakan dan menguasai masa. Aku yang menggantikan malam dan siang". Asy-Syaami menyatakan, perkataan yang mencela melahirkan kesalahan besar.

Menurut beliau, celaan yang diucapkan itu sebenarnya akan mengenai diri mereka sendiri. "Mereka telah berkata hal-hal yang tak patut," katanya.

Asy-Syaami menegaskan, ucapan-ucapan yang tak baik sama sekali tidak mendatangkan manfaat apa pun, sebaliknya, menjerumuskan seseorang ke jalan kebatilan. Ucapan yang buruk juga mendatangkan perpecahan dan pertikaian antara sesama manusia.

Termasuk yang perlu dijauhi adalah berkata bohong. Islam tidak memberikan keringanan bagi umatnya yang berbohong.

Ibn Qayyim dalam kitab al-Fawa'id mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap pembohongan. Sebab, kebohongan akan merosakkan cara pandang umat terhadap fakta yang sebenarnya.


Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengatakan, pembohongan akan mengiring pelakunya kepada kejahatan dan kejahatan akan menjerumuskan ke dalam neraka.

Mar 14, 2011

Gempa Bumi Dan Tsunami Dalam Al-Quran


Kalau kita cari perkataan gempa bumi dalam Al Quran, perkataan gempa bumi secara tegas dinyatakan sebanyak 4 kali, iaitu pada Surah Al A’raaf (ayat; 78, 91 dan 155) dan Surah Al-Ankabut ayat 37. Dalam Surah Al An’aam ayat 65 kalimat gempa bumi hanya ditemui dalam penjelasan.

Seterusnya kalau dikembangkan lagi dengan perkataan “Bumi bergoncang”, maka akan ditemui sebanyak 4 kali juga, iaitu pada Surah Ar Ra’d ayat 31, Al Waaqi’ah ayat 4, Surah Al Fajr ayat 21 dan Surah Al Zalzalah ayat 1.

Seterusnya dari laporan Integreted Tsunami Database for the Pacific menjelaskan bahawa gempa bumi bumi telah mula tercatat pada tahun 416 sehingga sekarang. Keadaan ini menunjukkan bahawa jauh sebelum itu,Al Quran telah menjelaskan tentang peristiwa gempa bumi.


Secara etimologi,definisi gempa bumi adalah merupakan peristiwa alam, terjadi secara mendadak, kerana pelepasan energi, akibat daripada pergeseran relatif batuan/lempeng tektonik/kerak bumi.

Merujuk kepada definisi tersebut, maka dalam Al Quran dalam Surah Al Zalzalah ayat 1 dan 2, secara jelas dikatakan Apabila bumi digoncangkan dengan goncangannya (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung) nya,

Berkenaan dengan Tsunami pula, sudah pasti perkataan Tsunami tidak akan kita temui dalam Al Quran, kerana tsunami berasal dari bahasa Jepun iaitu (tsu = pelabuhan, nami = gelombang laut), tetapi kalau dihubungkan dengan definisi tsunami itu sendiri adalah sebagai gelombang laut dengan jangka masa panjang yang ditimbulkan oleh gangguan impulsif dari dasar laut, tsunami ini menimbulkan gelombang besar ke kawasan pantai.

Memerhatikan definisi dari tsunami tersebut, maka dalam Al Quran akan ditemui 2 ayat iaitu dalam Surah Al Infithar ayat 3,”dan apabila lautan menjadi meluap” dan Surah At Takwiir ayat 6 “dan apabila laut dipanaskan”. Makna kedua Surah tersebut, adalah menegaskan, dimana laut akan meluap kerana kerana adanya proses pemanasan didasar bumi.

Menurut teori, gangguan implusif adalah seperti gempa bumi tektonik, erupsi volkanik, dan gelongsoran (land slide). Tsunami menyebabkan terjadinya bencana di darat dan dilaut, sebagaimana yang dijelaskan pada Surah Al An’am ayat 63, dimana Allah menanyakan kepada manusia iaitu,

Katakanlah: “Siapakah yang dapat menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut?.


Fenomena terjadinya patahan, dan terbentuknya gunung-gunung akibat pergerakan kerak bumi ini dapat ditemui dalam Al Quran pada 1). Surah Ar Ra’du ayat 41

“dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami mendatangkan daerah-daerah, lalu Kami kurangi daerah-daerah itu (sedikit demi sedikit) dari tepi-tepinya? Dan Allah menetapkan hukum (menurut kehendakNya), tidak ada yang dapat menolak ketetapanNya; dan Dia-lah Yang Maha cepat hisabNya”.

2) Surah An Naba ayat 6 dan 7, iaitu

“Bukankah kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan? Dan gunung-gunung sebagai pasak?

Manusia diseru dalam Surah Thaha ayat 81, iaitu

“Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepadamu, dan janganlah melampaui batas padanya, yang menyebabkan kemurkaanKu menimpamu. Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia”.

Pesanan Allah ini selalu diabaikan oleh manusia, sehingga terjadinya sumber daya yang berlebihan, contohnya pengeluaran minyak bumi, gas cairdan sebagainya, sehingga telah menimbulkan kesan kepada generasi berikutnya.

Bukan saja eksploitasi terhadap sumberdaya yang dilakukan oleh manusia, manusia itu sendiri juga telah mengeksploitasi dirinya sendiri, sehingga telah menimbulkan kehidupan yang tidak harmonis antara manusia dengan lingkungan, dan manusia dengan manusia, apalagi manusia dengan Sang Khaliq, seperti yang digambarkan dalam Surah Ar-Ruum ayat 41 iaitu

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Semua bencana ini tidak akan terjadi, apabila semua manusia itu tunduk dan patuh untuk melaksanakan seluruh perintah dan menghentikan semua larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, sebagaimana yang disampaikan pada Surah Al Hadid ayat 22, iaitu “Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.

Dari berbagai tinjauan yang disampaikan di atas, terjawablah bahawa gempa bumi bumi dan tsunami merupakan proses dari Allah untuk penyempurnaan ciptaan-Nya. CiptaanNya yang sempurna ini, bukan hanya berlaku kepada bumi, tetapi juga kepada penghuninya.


Posted @ www.isuhangat.net